AM > BERITA

Belanjawan 2025 Pastikan Kebajikan Setiap Lapisan Masyarakat Terpelihara

18/10/2024 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan setiap lapisan masyarakat terutama golongan rentan terus mendapat pembelaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata peruntukan bagi bantuan dan sokongan kepada ibu bapa yang mempunyai anak autisme suatu perkembangan yang baik.

"Ini suatu yang baharu bagi kita, saya amat berterima kasih kerana baru minggu lepas semasa mesyuarat Kabinet saya menyuarakannya dan Alhamdulillah hari ini mendapat RM23 juta (peruntukan keseluruhan bagi bantuan dan sokongan kepada ibu bapa serta anak autisme),” katanya dalam sidang media di Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2025 di sini hari ini.

Antara bantuan yang diumumkan ialah yuran pembelajaran anak autisme bagi meringankan tanggungan ibu bapa yang layak dengan dana RM15 juta yang memanfaatkan 30,000 anak autistik, Elaun Murid Berkeperluan Khas sebanyak RM150 sebulan, pembangunan Pusat Perkhidmatan Autisme dengan peruntukan RM5 juta dan pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan serta pemulihan anak autisme ditingkatkan kepada RM6,000.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam reaksinya berkata peningkatan peruntukan kepada kementerian yang diterajuinya sebanyak RM18 billion untuk 2025 berbanding RM16.3 bilion tahun ini, membuktikan Perdana Menteri memberikan keutamaan terhadap bidang pendidikan.

“Antaranya, Perdana Menteri menyentuh mengenai penambahbaikan prasarana, penggantian peralatan usang dan perluasan capaian Internet yang semuanya berjumlah RM635 juta. Ia satu jumlah yang besar dan membuktikan komitmen beliau dalam memastikan institusi pendidikan tinggi negara sama ada universiti atau politeknik dilengkapi (kemudahan yang terbaik)," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersyukur dengan peruntukan besar diterima kementeriannya dalam Belanjawan 2025 iaitu sebanyak RM45.27 bilion sekali gus dapat memacu pembangunan fasiliti kesihatan terbaik negara.

“Ini meletakkan kami di kedudukan yang baik untuk terus membangunkan fasiliti kesihatan, merapatkan kesenjangan antara wilayah dan lebih penting untuk kami dapat memberikan yang terbaik kepada petugas kami,” katanya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke juga merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana Belanjawan 2025 turut menumpukan pembangunan sektor pengangkutan awam menerusi pelbagai inisiatif bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti pas bulanan My50 yang akan diteruskan pelaksanaannya tahun depan, dengan tambahan peruntukan hingga RM216 juta.

"Sudah tentu ia akan beri manfaat kepada ramai orang...dasar yang diumumkan Perdana Menteri tadi juga melibatkan semua bas henti-henti di luar Lembah Klang.

“Di kebanyakan ibu negeri kita perkenalkan bas henti-henti di bawah jenama BAS.MY yang akan mengecualikan bayaran antaranya kepada golongan warga emas serta pelajar sekolah rendah dan menengah. Ini merupakan satu inisiatif yang memberi kemudahan kepada pelajar dan mengurangkan kos (sara hidup) mereka," katanya.

Menerusi Belanjawan 2025 diumumkan Anwar, kerajaan juga bersetuju memberikan tambang percuma kepada semua mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Belanjawan 2025 dengan tema “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat” mengambil langkah menangani isu kos sara hidup rakyat dengan peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion.

Beliau berkata belanjawan berkenaan juga menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan pendapatan bermaruah pekerja melalui kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 berkuat kuasa Februari 2025, selain berusaha mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Saya turut berpendapat Belanjawan 2025 ini positif dan mencakupi semua lapisan masyarakat. Semoga Belanjawan MADANI Ketiga 2025 ini mampu memastikan kestabilan ekonomi rakyat dan negara dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Belanjawan 2025 memberi fokus kepada reformasi ekonomi yang inklusif dan mampan dengan penekanan terhadap pendidikan dan kesihatan.

“Ini membuktikan bahawa kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan Malaysia MADANI. Ini satu langkah besar ke arah pertumbuhan Malaysia yang seimbang dan adil,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula berkata peruntukan sebanyak RM64.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan adalah tertinggi dalam sejarah sekali gus mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan berjaya mencapai matlamatnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata  pembentangan Belanjawan 2025 turut memperlihatkan iltizam kerajaan dalam usaha pembangunan syiar Islam di negara ini.

“Secara keseluruhan untuk tujuan pengurusan hal ehwal Islam sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan. Jumlah ini meningkat sebanyak RM0.1 bilion berbanding 2024. 

“Saya bersama seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertekad untuk terus berusaha dengan semangat islah (reformasi) dan itqan (ketekunan) bagi memastikan seluruh agensi Islam sentiasa memelihara tatakelola yang baik dan integriti,” katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata Belanjawan 2025 ini memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya dalam penyediaan infrastruktur dan kemudahan jalan raya yang selamat di bawah tanggungjawab Kementerian Kerja Raya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan