AM > BERITA

Prosedur Permohonan Sijil Halal Dipendekkan Kepada 15 Hari Bekerja

19/10/2024 04:14 PM

KUANTAN, 19 Okt (Bernama) -- Tempoh memproses pensijilan halal dipendekkan kepada 15 hari bekerja berbanding 23 hari sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penambahbaikan itu bertujuan merancakkan industri halal negara berikutan sebelum ini, tempoh permohonan sijil halal mengambil masa agak lama hingga sembilan bulan. 

“Dulu sembilan bulan, kita kurangkan enam bulan (kemudian) kurangkan pada tiga bulan. Daripada tiga bulan, saya minta 23 hari dan itu kita telah capai. (Sekarang) kita kurangkan kepada 15 hari. 

“Ini telah berjalan dan setakat ini, kami berpuas hati dengan apa yang sedang berjalan. Kolaborasi antara JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dengan pelbagai pihak seperti HDC (Halal Development Corporation Bhd) dengan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) dan akademi halal,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Halal On Track (HOT) @ Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Besar Pahang Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ahmad Zahid berkata penambahan 100 juruaudit halal JAKIM yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 semalam, dapat membantu ke arah mempercepat serta melancarkan lagi proses pengeluaran sijil halal bagi memenuhi permintaan dalam mahupun luar negara. 

Buat masa ini, beliau berkata JAKIM sudah bekerjasama dengan lima institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyediakan juruaudit halal yang akan turut menjadi pegawai bagi menentukan piawaian halal dan ditempatkan di syarikat sudah mempunyai sijil halal bagi memastikannya mematuhi piawaian ditentukan. 

“Ini secara tidak langsung (akan) membuka peluang kepada mereka yang asalnya berada di Maahad Tahfiz , pemegang diploma atau ijazah dari beberapa institusi pengajian tinggi yang telah mengikuti kursus ini untuk bekerja di syarikat-syarikat (ini) terutamanya syarikat yang mengeksport produk ke luar negara. 

“… untuk memastikan bahawa kita tidak akan berkompromi dari segi Halalan Toyyiban yang telah ditentukan oleh JAKIM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia dalam ucapannya berkata dalam merancakkan industri halal negara, ia tidak boleh dilakukan secara sendiri tetapi perlu bersama dalam mencipta pengubah keadaan khususnya dalam aspek pensijilan halal. 

“Kita perlu mendengar semua maklum balas dan menambah baik proses pensijilan. Melalui bengkel halal, beberapa inisiatif utama telah dicadangkan untuk mempercepat proses kelulusan dan mengurangkan kadar kegagalan permohonan.

“Antaranya, memastikan pemilik industri pengurusan tertinggi, penyelia, dan eksekutif halal menerima latihan menyeluruh mengenai keperluan pensijilan. Saya percaya pemain industri perlu dibimbing dengan maklumat tepat dan berlandaskan undang-undang yang jelas. Hanya dengan ini, proses pensijilan halal dapat dipermudah dan risiko kegagalan dapat diminimumkan,” katanya. 

Melihat usaha bimbingan itu dapat dibantu menerusi program Halal On Track (HOT) yang diperkenalkan pada Ogos tahun lepas, beliau berkata program tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memacu pertumbuhan industri halal negara.

Menerusi program ini, beliau berkata ia bukan sahaja sebagai platform menyediakan pelbagai maklumat tetapi juga membuka peluang perniagaan kepada pemegang sijil halal, mendapat bimbingan dan latihan yang dapat memenuhi keperluan pensijilan.

“Harapan saya agar Halal On Track menjadi platform yang memperkasakan rantaian nilai halal, di peringkat domestik dan antarabangsa, dengan melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu menerajui pasaran global halal.

“Di peringkat domestik, data jelas menunjukkan peningkatan dalam permohonan sijil halal setiap tahun. Pada 2023, kita menerima 15,605 permohonan meningkat daripada 14,977 pada tahun sebelumnya (2022).

“Setakat September 2024, sebanyak 14,707 permohonan telah diterima dan saya percaya angka ini akan mencecah lebih 16,000 lebih-lebih lagi dengan usaha dilakukan seperti pelaksanaan HOT ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan