BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM > BERITA

Pembinaan WISE Dilaksana Seperti Dirancang - Ahmad

19/10/2024 05:50 PM

TAPAH, 19 Okt (Bernama) -- Pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar akan dilaksanakan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ahmad berkata pelaksanaan pembinaan lebuh raya itu merupakan antara tugas Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim untuk diselesaikan.

"Projek itu telah lulus, apabila kami dapat KSU (Ketua Setiausaha) baharu, KSU baharu kami antara tugasannya ialah untuk menyelesaikan WISE dan dalam mesyuarat-mesyuarat bersama kami, beliau menyatakan WISE selesai.

"Sudah lulus, tetapi belum dibina, kita tunggu pengumuman nanti, apa pun memang disebut dalam Belanjawan (Belanjawan 2025) semalam, saya hanya mengesahkan. Kelulusan itu ialah benda dah diumum pun," katanya pada sidang media selepas meninjau sistem penyuraian trafik yang baharu dilaksanakan di sekitar pekan Tapah di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan projek berkenaan berikutan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 semalam, menyebut Lebuh Raya WISE sebagai satu daripada lima projek berkepentingan rakyat yang akan mengguna pakai pendekatan kerjasama awam-swasta (PPP).

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Persekutuan dalam usaha mempercepat pembinaan WISE sebagai langkah mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) khususnya melibatkan laluan di Terowong Menora.

Lebuh raya WISE sepanjang 60km sebagai alternatif kepada laluan Terowong Menora di PLUS bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar, dan seterusnya Kuala Kangsar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan