BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM > BERITA

Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua Dijangka Dilaksana Secara PPP - Chow

19/10/2024 06:53 PM

BUTTERWORTH, 19 Okt (Bernama) -- Lebuh Raya Bertingkat Juru dan Sungai Dua di sini yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 semalam dijangka dilaksanakan secara Perkongsian Awam-Swasta (PPP).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ketika ini Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) bersama beberapa agensi berkaitan sedang meneliti pelaksanaan projek berkenaan.

“Butiran lanjut mengenai projek Lebuh Raya Bertingkat Juru dan Sungai Dua itu masih dalam perbincangan dan menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat ia dapat direalisasikan.

“Cuma sebelum bajet (pembentangan Belanjawan 2025) dalam mesyuarat NCIA (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara), kita dimaklumkan mungkin anggaran kos sekarang (untuk projek lebuh raya bertingkat) sudah mencecah RM2 bilion berbanding apa yang kita sebut sebelum ini iaitu RM1.8 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Penganugerahan Sijil Program Empower Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER): Kemahiran dan Keusahawanan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena di sini hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 semalam, Anwar mengumumkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Projek Batu Kawan Industrial Park 3 di Pulau Pinang.

Sebelum ini Chow memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru dan Sungai Dua berikutan keadaan aliran trafik yang semakin mendesak, malah perkara itu telah dibangkitkan kepada Perdana Menteri dalam Taklimat Pembangunan Pulau Pinang di Komtar April lepas.

Terdahulu Chow dalam ucapannya berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh NCIA termasuk Program empowerNCER telah memberi manfaat kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan keusahawanan dan pendapatan isi rumah khususnya di Pulau Pinang.

Beliau berkata terdapat 14 jenis Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan kepada peserta Program empowerNCER yang dikelaskan mengikut tahap berdasarkan kapasiti perniagaan dan pendapatan masing-masing.

“Pelaksanaan program ini juga telah meningkatkan skala perniagaan peserta dan melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri keusahawanan yang berdaya maju, serta bimbingan menyeluruh dalam aspek penetapan perniagaan, peningkatan mutu produk, pendigitalan dan pendedahan pasaran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan