AM > BERITA

Kerajaan Tidak Pernah Naikkan Kos Rawatan Hemodialisis Sejak 2016 - Dr Dzulkefly

20/10/2024 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Kerajaan tidak pernah menaikkan kos rawatan hemodialisis di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seperti dakwaan yang tular di media sosial. 

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bayaran RM13 untuk satu sesi, atau lazimnya RM169 sebulan bagi perkhidmatan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu, adalah bayaran sama sejak 2016. 

Selain itu, katanya perkhidmatan asas di fasiliti KKM juga kekal RM1 manakala perkhidmatan pakar ialah RM5. 

"Telah tular kembali mesej berantai lama yang mendakwa bahawa Malaysia kini menuju ke arah ‘khidmat kesihatan berbayar’ . Adalah ditegaskan bahawa kerajaan Malaysia terutamanya di bawah pentadbiran Malaysia MADANI telah berulang kali menegaskan iltizam mengekalkan akses terbuka kepada perkhidmatan kesihatan," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan tidak bercadang untuk menyemak mana-mana fi buat masa ini dan sehubungan itu, penularan mesej tidak tepat dan tidak bertanggungjawab seperti itu harus dihentikan.

Hantaran itu turut dimuat naik tangkap layar mesej yang mendakwa rawatan hemodialisis di hospital kerajaan tidak lagi percuma kerana pesakit wajib membayar RM13 bagi satu sesi atau RM169 sebulan, yang kononnya telah bermula sejak lebih setahun lepas, sedangkan ia sebenarnya ada fi yang sama sejak 2016.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan