EKONOMI > BERITA

GDS Bekerjasama Dengan Pembekal Global, Sasar Kemasukan Pelaburan RM1 Bilion - MIDA

28/10/2024 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pembangun dan pengendali terkemuka pusat data berprestasi tinggi, GDS International bertukar memorandum persefahaman (MoU) dengan pembekal global dalam siri perkongsian, ia diunjurkan membawa masuk pelaburan sekitar RM1 bilion pelaburan untuk kilang bersepadu dan pusat perkhidmatan.

Dalam kenyataan bersama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan GDS semalam, pemain utama dalam industri pusat data Malaysia berkata perkongsian itu dianggarkan mewujudkan sehingga 5,000 pekerjaan dan menyumbang lebih RM5 bilion setiap tahun kepada ekonomi serta memperkasakan rantaian bekalan pusat data Malaysia.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata perkongsian itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk memupuk ekosistem dalam kemajuan teknologi dan inovasi, mengukuhkan asas dan pembangunan infrastruktur digital Malaysia.

“Lima pertimbangan utama bagi industri pusat data adalah penciptaan peluang pekerjaan bermakna, penyetempatan rantaian bekalannya, pencegahan pembinaan spekulatif (ia boleh mengakibatkan lebihan penawaran), penggunaan air dan kuasa,” katanya dalam kenyataan itu.

Pertukaran MoU berlangsung di Sidang Kemuncak Ekosistem Rantaian Bekalan Pusat Data yang dihoskan GDS di Johor semalam.

Pada acara sama, GDS turut bertukar MoU dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk meningkatkan kualiti dan piawaian dalam industri pusat data.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata rangkaian pusat data Malaysia yang berkembang dan infrastruktur teknologi awan adalah penting untuk memudahkan aliran data rentas sempadan.

“Selain penyimpanan dan pemprosesan data, pusat data ini menyediakan peluang keemasan untuk perusahaan kecil dan sederhana tempatan memasuki rantaian nilai global.

“Ini memupuk pembangunan bakat tempatan, memacu inovasi teknologi dan pertumbuhan ekonomi dalam ekosistem tesebut,” katanya.

Pengerusi GDS, William Huang pula berkata syarikat itu berdedikasi untuk memupuk kerjasama merentas industri dan dengan pemegang kepentingan utama.

“Bersama-sama, kita boleh memacu pertumbuhan yang ketara, meningkatkan keupayaan negara dan meletakkan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk perkhidmatan pusat data di rantau ini,” katanya.

Sidang kemuncak itu menghimpunkan lebih 400 peserta merentasi rantaian bekalan pusat data serta peneraju industri dan agensi kerajaan utama, mempamerkan teknologi terkini dan menempatkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekonomi digital global.

Malaysia sedang membuat kemajuan luar biasa dalam ekonomi digitalnya dengan pelaburan digital bernilai RM185.3 bilion diluluskan dari 2021 hingga Jun 2024.

Pelaburan pusat data dan awan menyumbang bahagian terbesar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan ini, berjumlah RM131 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan