AM > BERITA

Isu Keselamatan Perairan, Kebolehpasaran Siswazah, Tumpuan Sidang Dewan Rakyat Hari Ini

21/10/2024 08:06 AM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Isu keselamatan perairan Malaysia di Laut China Selatan dan kebolehpasaran siswazah menjadi antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soal keselamatan perairan Malaysia di Laut China Selatan susulan pencerobohan kapal frigat tentera China dan Pengawal Pantai China di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Wilayah Maritim Sarawak dibangkitkan oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) pada sesi jawab lisan.

Selain itu, isu mengenai program latihan kemahiran yang dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pekerja tempatan dalam sektor teknologi serta industri 4.0 turut diajukan oleh Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) kepada Menteri Sumber Manusia.

Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) pula meminta penjelasan daripada Menteri Ekonomi mengenai mekanisme dan strategi yang digunakan bagi memastikan program Jelajah MADANI Mendengar berfungsi sebagai platform terbaik dan efektif untuk kerajaan mengumpulkan input dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-13.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dalam soalannya kepada Menteri Komunikasi meminta penjelasan berhubung percanggahan dengan respons Asia Internet Coalition (AIC) yang menggesa kerajaan agar membatalkan rancangan pelesenan platform media sosial.

Sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025, yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, akan diteruskan selepas sesi soal jawab.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Dis depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan