AM > BERITA

Kerajaan Digesa Pastikan Pelaksanaan Inisiatif Diumum Dalam Belanjawan 2025 Cekap, Telus

21/10/2024 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kerajaan digesa untuk memastikan pelaksanaan inisiatif di bawah Belanjawan 2025 adalah cekap dan telus, memandangkan ia memerlukan usaha bersepadu daripada sektor awam dan swasta, kata  Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

Presidennya, Datuk Seri N. Gobalakrishnan berkata sebagai badan utama komuniti perniagaan Malaysia, NCCIM percaya belanjawan ini menetapkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan serta menangani cabaran utama yang dihadapi negara.

“Meskipun kami optimis terhadap potensi belanjawan, kepentingan pelaksanaan yang cekap dan telus perlu diberi penekanan,” katanya dalam sidang media mengenai Belanjawan 2025, di sini hari ini.

Gobalakrishnan turut mencadangkan agar peruntukan RM86 bilion bagi perbelanjaan pembangunan (DE) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 perlu disegerakan bagi membantu merangsang penggunaan domestik.

"Melihat kepada prestasi ringgit yang kukuh, peningkatan eksport dan kemasukan pelaburan langsung asing, kami percaya peruntukan ini harus disalurkan kepada industri secepat mungkin.

"Berbanding menunggu hingga bulan ke-10, ia seharusnya dikeluarkan pada suku pertama tahun berkenaan supaya kita dapat melihat kemajuan lebih awal,” katanya.

Beliau berharap belanjawan pembangunan itu akan membantu merangsang lagi penggunaan domestik dan menghidupkan pelbagai sektor, yang akan memberi kesan limpahan positif ke atas keseluruhan ekonomi.

“Kami menggesa agar kerajaan untuk mengekalkan dialog terbuka dengan pihak berkepentingan industri dan kekal fleksibel dalam menyesuaikan dasar ketika ekonomi sedang berkembang,” katanya.

Mengulas mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, Gobalakrishnan berkata persatuan itu mengalu-alukan inisiatif itu untuk menangani kebajikan rakyat dan akan mengambil langkah berhati-hati bagi mengurangkan risiko.

“Disebabkan kos pengeluaran yang semakin meningkat, kerajaan sepatutnya memberi insentif kepada kami dan ia perlu disediakan secepat mungkin.

"Dengan langkah sedemikian, kami akan dapat menyerap kos dengan lebih mudah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan