AM > BERITA

Penjawat Awam Teruja Tandatangan SSPA, Tawar Laluan Kerjaya Lebih Luas

21/10/2024 08:12 PM

PUTRAJAYA, 21 Okt (Bernama) -- Warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini teruja menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan mempertingkatkan lagi aspek kebajikan selain menawarkan laluan kerjaya lebih luas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Gaji dan Elaun, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Nuuraulia Md Isa berkata beliau teruja menandatangani SSPA yang menawarkan lebih banyak ganjaran kepada penjawat awam. 

“Dah lama tidak ada satu sistem saraan baharu dan bila adanya SSPA, ramai teruja dan ia memberikan kami semangat untuk berkhidmat untuk rakyat. 

“Melalui SSPA, gaji dan kemudahan lain ditambah dan saya seru rakan penjawat awam untuk menandatangani sistem baharu ini,” katanya selepas majlis menandatangani opsyen SSPA di sini hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz hari ini mengetuai majlis menandatangani opsyen SSPA bersama 75 warga kerja JPA daripada pelbagai kumpulan perkhidmatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Gaji dan Elaun JPA Bernard Kung menyeru semua penjawat awam untuk menandatangani opsyen SSPA sebelum 30 Nov ini.

“Kita akan menerima pelarasan gaji (melalui SSPA) dan kalau tolak SSPA, kita tidak akan menikmati gaji yang lebih tinggi. Aspek kemudahan seperti cuti juga akan ditambah selain laluan kerjaya lebih luas dalam SSPA,” katanya.

Pegawai keselamatan JPA Muhammad Fadhlullah Abu Bakar pula berkata pelarasan gaji yang lebih tinggi dalam SSPA mendorong beliau untuk berkhidmat dengan lebih baik selain membuktikan kerajaan menjaga kebajikan penjawat awam.

“Saya seru semua pilih SSPA dan berazam laksana tugas sebagai penjawat awam dengan cemerlang,” katanya. 

Opsyen menandatangani SSPA bermula hari ini hingga 30 Nov dan tawaran terbuka kepada semua pegawai awam bertaraf tetap bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Sebelum ini,  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Pelarasan gaji akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan