AM > BERITA

Projek Tebatan Banjir RM10.8 Juta Bantu Kurangkan Masalah Banjir Di Sanglang - Exco

21/10/2024 07:54 PM

NIBONG TEBAL, 21 Okt (Bernama) -- Projek Tebatan Banjir Sanglang (Fasa 1) diyakini dapat mengawal serta mengurangkan masalah banjir yang dihadapi penduduk di beberapa kawasan perumahan sekitar Rumah Pam Sanglang di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Desa Pulau Pinang H'ng Mooi Lye berkata projek yang menelan kos RM10.8 juta di bawah peruntukan Pembangunan Negeri itu dimulakan 3 Okt lepas dan dijangka mengambil masa dua tahun. 

Beliau berkata projek itu melibatkan 10 komponen kerja antaranya pembinaan rumah pam dengan dua pam skru berkapasiti 2,500 liter per saat, pembinaan tembok penahan, pembinaan jalan baharu dan penyelenggaraan semula jalan sedia ada substesen TNB serta pembinaan struktur outlet dan sistem perparitan.

"Kita difahamkan projek ini bukanlah 100 peratus dapat selesaikan masalah banjir tetapi sekurang-kurangnya kita boleh kawal dan mengurangkan risiko banjir di kawasan Sanglang terutamanya di Taman Veerapan, Kampung Stesyen dan Taman Penting selain mengurangkan jumlah mangsa, kerosakan harta benda dan kemudahan awam," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Rumah Pam Sanglang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah 1 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang Ahmad Kamil Jamaludin.

H'ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berkata banjir di Sanglang adalah disebabkan oleh kapasiti sistem saliran yang tidak mampu menampung aliran permukaan dari kawasan hulu dan kedudukannya yang rendah. 

"Kebanyakan lokasi di sepanjang sistem saliran di kawasan ini mengalami kenaikan air banjir antara 0.3 meter (m) hingga 0.6m malah keadaan akan menjadi lebih buruk apabila berlakunya air pasang," katanya.

Beliau memaklumkan kerajaan negeri juga bercadang untuk melaksanakan fasa dua bagi projek itu yang melibatkan kerja menaik taraf pintu kawalan air pasang yang baharu.

Sementara itu, Ahmad Kamil berkata JPS kini ke arah pemantauan banjir secara dalam talian dan sedang berusaha membangunkan sistem serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

"Ini bermaksud bila kita dapat amaran (banjir) daripada sistem info banjir dan info banjir JPS Pulau Pinang kita akan pantau secara dalam talian yang mana kita boleh tengok paras air sedia ada dan kita boleh tahu sama ada pam itu berfungsi ataupun tidak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan