Polis Tumpaskan Cubaan Seludup 20 Warga Myanmar

21/10/2024 10:57 PM

KOTA BHARU, 21 Okt (Bernama) -- Polis Kelantan mematahkan cubaan menyeludup masuk 20 lelaki warga Myanmar di Jalan Bendang Morak, Palekbang, Tumpat, semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata anggotanya yang menjalankan rondaan di sekitar jalan itu mengesan sebuah kereta Proton Exora menghala ke arah Kampung Kepulau, Tumpat dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata anggotanya cuba menahan kenderaan itu dengan menggunakan lampu suar serta siren namun pemandu terbabit terus memecut laju dengan memandu secara berbahaya termasuk melanggar lampu isyarat merah. 

“Polis mengekori kenderaan suspek sehingga di Jalan Pasir Pekan dan anggota cuba menahan kereta itu namun pemandu bertindak agresif dengan melanggar kereta polis sehingga menyebabkan berlaku kerosakan pintu hadapan dan belakang.

“Bagaimanapun, kenderaan itu dipandu memasuki ke susur jalan ke Kampung Pohon Tanjung Wakaf Bharu telah terbabas sehingga melanggar pembahagi jalan dan kelihatan dua lelaki disyaki pemandu serta penumpang sebelah hadapan telah terjun dari kenderaan dan melarikan diri ke dalam semak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata polis berjaya menahan suspek dan pemeriksaan lanjut terhadap kereta berkenaan menemukan 20 lelaki warga Myanmar.

“Suspek juga ditahan kerana kesalahan menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang tanpa izin, selain 20 warga Myanmar itu turut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di talian 09-7257222.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan