AM > BERITA

Belanjawan 2025 Fokus Pembangunan Lestari, Perkembangan Bakat Dan Pelaburan Strategik

21/10/2024 08:48 PM

ISKANDAR PUTERI, 21 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM421 bilion di bawah Belanjawan 2025 menjadi asas yang kukuh untuk memulihkan ekonomi, memacu perubahan positif dan memastikan kesejahteraan rakyat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB) Datuk Idzham Mohd Hashim berkata pendekatan kerajaan mencerminkan komitmen terhadap pertumbuhan mampan sambil mengekalkan kestabilan fiskal, yang akan membantu perbelanjaan kembali normal dan mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih stabil.

“Belanjawan itu menyediakan laluan yang jelas dengan mengekalkan disiplin fiskal, menggalakkan keyakinan pelabur dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan langsung asing (FDI).

"Dengan memberikan tumpuan kepada mengurangkan hutang negara dan merasionalisasikan subsidi, Kerajaan Madani sedang meletakkan asas yang stabil yang bertujuan untuk mengawal inflasi sambil merangsang pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Idzham berkata RM7.5 bilion yang diperuntukkan untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan penekanan kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), mencerminkan strategi kerajaan untuk menjamin tenaga kerja masa depan.

"Kami seiring dengan visi ini dengan memacu inisiatif yang mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi di Iskandar Puteri, bekerjasama rapat dengan peneraju industri dan memanfaatkan EduCity Iskandar, cabang pendidikan kami yang berdedikasi.

"EduCity terus memainkan peranan penting dalam menarik bakat terbaik dan mengukuhkan reputasi Johor sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan dan inovasi," katanya.

Selain itu, beliau turut menyambut baik tumpuan belanjawan terhadap kemampanan, seperti insentif untuk aktiviti penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), pengenalan cukai karbon dan lanjutan pemeteran tenaga bersih (NEM).

"Ini akan memberikan peluang kepada kami untuk memperluas dan mengetengahkan Medini sebagai Daerah Pusat Perniagaan Karbon Sifar Bersih, di mana inovasi digital dan kemampanan bersatu untuk mewujudkan ekosistem perniagaan yang berkembang pesat.

"Ia juga akan memberikan peluang kepada IIB untuk menarik syarikat baharu dan merangsang pertumbuhan Tech Medini sebagai hub dinamik untuk inovasi digital di Iskandar Puteri," katanya.

Selain itu, Idzham berkata pihaknya komited untuk membina metropolis yang lestari dan inklusif di Iskandar Puteri.

"Kami percaya pertumbuhan ekonomi harus seiring dengan keterangkuman sosial dan tanggungjawab alam sekitar. Menerusi kerjasama dengan pemimpin industri dan pihak berkepentingan, kami sedang membina ekosistem yang mengintegrasikan teknologi, kemampanan dan pembangunan bakat sekali gus menjamin masa depan Johor sebagai negeri yang dinamik dan berdaya tahan di rantau ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan