AM > BERITA

MAIPk Peruntuk RM1.18 Juta Bantu Usahawan Asnaf Di Bawah Program Proper A

21/10/2024 09:48 PM

IPOH, 21 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan RM1.18 juta kepada 105 usahawan menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A), sepanjang tahun ini.

Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk Rohizan Omar berkata dana berkenaan, dibahagikan kepada empat bidang utama yang melibatkan kulinari dan pastri, urutan dan refleksologi, dandanan rambut serta penternakan kelulut.

“Kita melaksanakan program ini sejak 2016 dan mengikut data terkini hampir 2,500 usahawan asnaf telah menerima manfaat, yang membantu mereka mengembangkan bakat dan kemahiran untuk digunakan dalam bidang perniagaan.

“Hasilnya kita dapat membantu peserta keluar daripada kemiskinan, serta akhirnya menjadi sebahagian daripada pembayar zakat,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peralatan Bantuan Perniagaan dan Pelancaran Penjenamaan Kumpulan Terapis Proreflexy, bagi Program Proper A 2024 di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau berkata para peserta yang terpilih perlu menjalani latihan yang turut merangkumi aspek pengurusan kewangan selama enam bulan dan sepanjang tempoh itu, mereka dibayar elaun bulanan berjumlah RM500 di samping kemudahan penginapan.

Sementara itu, pemilik Humaira Training Centre Harisun Kassim berkata syarikatnya antara perunding yang dilantik MAIPk bagi menyediakan latihan penuh dalam bidang urutan dan refleksologi, dengan 30 peserta berusia 25 hingga 50 tahun mengikuti bimbingan kendalian pihaknya bermula Jun.

“Setiap daripada mereka menerima RM9,500 dengan sebahagian daripada amaun itu turut diperuntukkan untuk kemudahan peralatan seperti kerusi urut, tuala refleksologi, kain batik, krim urutan, herba sauna dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan