AM > BERITA

Proses Audit Penting Pastikan Ketepatan Laporan Kewangan, Patuh Undang-Undang Cukai - LHDN

22/10/2024 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Proses pengauditan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bukan bertujuan membebankan pembayar cukai, sebaliknya bagi memastikan ketepatan laporan kewangan dan pematuhan undang-undang cukai, selain berperanan mengekalkan integriti sistem percukaian.

Pengarah Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia Jabatan Khidmat Korporat LHDN Mohamad Razli Mohamad Ali berkata proses itu juga membolehkan pihaknya mengesan ketidakpatuhan termasuk kes-kes pelarian cukai, pengisytiharan pendapatan yang kurang daripada sepatutnya atau tuntutan potongan dan pelepasan yang tidak sah.

“Ramai pembayar cukai menganggap audit sebagai sesuatu yang menakutkan, namun dengan persiapan dan komunikasi yang baik, proses itu dapat diatasi dengan tenang,” katanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai di Bernama Radio, hari ini.

Beliau berkata kebiasaannya pengauditan dilakukan apabila terdapat percanggahan dalam laporan pendapatan atau perbelanjaan seperti pendapatan yang dilaporkan tidak selaras dengan maklumat yang diterima daripada pihak ketiga seperti majikan atau bank.

“Ini biasanya terjadi apabila pembayar cukai melaporkan pendapatan yang lebih rendah daripada jumlah sebenar, termasuk pendapatan sampingan yang tidak dilaporkan kepada LHDN.

“Selain itu pembayar cukai yang melaporkan perbelanjaan atau tuntutan pelepasan cukai yang terlalu tinggi tanpa bukti yang mencukupi atau menuntut potongan atau pelepasan yang tidak sah seperti menuntut potongan sumbangan kepada organisasi yang tidak berdaftar atau tidak diiktiraf oleh LHDN,” katanya.

Mohamad Razli berkata pembayar cukai yang tidak menghantar borang nyata cukai pendapatan dalam tempoh yang ditetapkan juga termasuk dalam senarai untuk dilakukan audit, terutama pemeriksaan terhadap rekod kewangan pembayar cukai.

Sehubungan itu beliau menyarankan pembayar cukai untuk memahami kandungan notis audit dengan mengenal pasti maklumat penting seperti tahun taksiran yang terlibat untuk semakan; jenis kesalahan; dokumen yang diperlukan; tempoh maklum balas; dan maklumat pegawai audit untuk dihubungi bagi memberi maklum balas.

“Sekiranya LHDN tidak menerima maklum balas daripada  pembayar cukai dalam tempoh yang ditetapkan, mereka dianggap tidak mempunyai bukti dan tidak layak dibenarkan tuntutan. Mereka boleh dikenakan penalti bergantung kepada kesalahan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pembayar cukai akan menerima Notis Taksiran Tambahan dan dikehendaki membayar cukai yang telah ditetapkan,” katanya sambil menambah tempoh audit berbeza bergantung kepada jenis dan kerumitan kes.

Beliau berkata bagi pembayar cukai berpendapatan selain penggajian dan syarikat, ia berkemungkinan akan melibatkan masa yang agak lama bergantung kepada kerjasama daripada pihak pembayar cukai dan jenis dokumen yang akan diaudit.

“Jika perniagaan atau urusan cukai adalah rumit, mendapatkan khidmat ejen cukai yang bertauliah boleh membantu untuk memastikan semua dokumen cukai adalah lengkap dan mengikut undang-undang, manakala bagi pembayar cukai individu atau perniagaan kecil dengan rekod cukai yang mudah dan tidak rumit, audit boleh diuruskan oleh mereka sendiri namun semua rekod dokumen yang berkaitan perlu disimpan dengan baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan