AM > BERITA

Sasaran Bina 500,000 Unit Rumah Mampu Milik Capai 89 Peratus Setakat September 2024 - KPKT

22/10/2024 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Sasaran pembinaan 500,000 rumah mampu milik (RMM) hampir tercapai dengan 89 peratus, melibatkan 443,259 unit yang telah siap, sedang dibina, dan dirancang di seluruh negara sehingga September lepas.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat memaklumkan baki 56,741 unit RMM dijangka diselesaikan menjelang akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) ini.

Menurut kementerian itu, berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat peningkatan yang signifikan dalam aktiviti pengurusan hartanah pada setengah tahun pertama 2024, berbanding 2023.

"Terdapat peningkatan lapan peratus dalam jumlah transaksi melibatkan 198,906 unit hartanah, dengan nilai keseluruhan melonjak 23.8 peratus kepada RM105.65 bilion,” menurut jawapan bertulis itu.

Penjelasan ini adalah sebagai responds kepada soalan Datuk Iskandar Dzulkranain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai cadangan menghidupkan kembali Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan langkah tambahan KPKT untuk menyokong pembeli rumah pertama serta memulihkan industri hartanah di Malaysia.

Melihat kepada kejayaan inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-Miliki) yang berakhir pada Disember lalu, KPKT telah memohon pertimbangan kerajaan untuk melanjutkan inisiatif tersebut agar lebih ramai pembeli, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), dapat menerima manfaat.

"Menurut laporan dariada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sehingga 31 Dis 2023, sebanyak 8,723 tuntutan pengecualian duti setem telah direkodkan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM38,373,796.52.

Kementerian memaklumkan bahawa kerajaan masih meneruskan pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah 2.0 (HOC 2.0), yang berlangsung dari 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2025. Kempen ini menawarkan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pembiayaan bagi kediaman baharu atau pasaran sekunder bernilai RM500,000 ke bawah.

KPKT menjelaskan bahawa Belanjawan 2025 turut menyediakan insentif untuk menggalakkan pemilikan rumah pertama melalui pelepasan cukai individu atas bayaran faedah pinjaman perumahan.Pelepasan cukai sehingga RM7,000 diberikan bagi rumah berharga sehingga RM500,000, manakala pelepasan cukai sehingga RM5,000 bagi kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000.

“Pelepasan ini boleh dituntut bagi tiga tahun taksiran berturut-turut ke atas perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027,” katanya.

Selain itu, kerajaan menyediakan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM10 bilion bagi manfaat 20,000 pembeli rumah, Sebagai tambahan, hampir RM900 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) termasuk dua projek PRR baharu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang yang turut diperuntukkan melalui Belanjawan 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan