AM > BERITA

Peruntukan RM2 Bilion Untuk Hal Ehwal Islam Bukti Iltizam Kerajaan MADANI - IKIM

22/10/2024 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Peruntukan berjumlah RM2 bilion untuk hal ehwal Islam yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 mencerminkan iltizam jitu Kerajaan MADANI terhadap usaha pemerkasaan agama Islam.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata peruntukan yang disalurkan untuk memperkukuh institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz, dan sekolah agama rakyat adalah langkah yang sangat dialu-alukan.

“Langkah ini tidak hanya dapat memperkukuh pendidikan Islam, tetapi juga dilihat dapat memperluas jangkauan syiar Islam kepada masyarakat Malaysia.

“Melalui usaha bersama, kita dapat membangunkan masyarakat berakhlak dan berilmu, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang juga seiring dengan tuntutan Islam yang menekankan aspek pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, beliau berkata penggunaan konsep wakaf bagi meningkatkan syiar Islam melalui hasrat kerajaan untuk meluncurkan ikhtiar wakaf al-Quran dengan mencetak sejuta naskhah al-Quran dalam pelbagai bahasa untuk edaran di seluruh dunia adalah bertepatan dengan waktu.

Mohamed Azam berkata melalui usaha itu, pihaknya berharap agar kesalahfahaman terhadap Islam dalam kalangan segelintir masyarakat dunia dapat diperbetulkan.

“Pada masa sama, kami di IKIM akan berkerjasama dengan agensi-agensi Islam lain bagi membantu pihak kerajaan mengekang pemikiran yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Aliran pemikiran yang menyeleweng ini jika tidak dibendung daripada awal dikhuatiri akan mengganggu gugat keharmonian dan keutuhan perpaduan umat Islam di negara ini,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan, IKIM menyokong sepenuhnya semua usaha kerajaan dalam meningkatkan syiar Islam yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 termasuk inisiatif berkaitan dengan kewangan Islam, pemerkasaan konsep wakaf dan industri halal.

“IKIM berharap semua inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Sebagai sebuah institut berperanan dalam memberi kefahaman Islam yang benar kepada masyarakat, kami mengalu-alukan usaha-usaha kerajaan dalam memperkasa dan meningkatkan syiar Islam di negara ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan