AM > BERITA

Malaysia, India Dan ASEAN Kukuh Kerjasama Sektor Penjagaan Kesihatan

22/10/2024 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) --  Kerjasama antara Majlis Perniagaan Malaysia-India dan Majlis Perniagaan ASEAN-India (AIBC) di Ekspo Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2024 menunjukkan komitmen Malaysia, India dan komuniti ASEAN bagi memupuk hubungan ekonomi khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan. 

Timbalan Menteri Kesihatan  Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata cabaran yang dihadapi dalam beberapa tahun ini terutama semasa pandemik COVID-19, menekankan pentingnya kerjasama, inovasi dan infrastruktur penjagaan kesihatan yang kukuh.

“Hari ini kita berkumpul di bawah satu tema ‘Menginovasi Kesihatan untuk Semua’ yang selari dengan aspirasi bersama untuk sistem penjagaan kesihatan yang lebih inklusif dan responsif 

“Ketika kita berada di saat sangat penting ini, kita perlu merebut peluang yang dibawa oleh kemajuan teknologi dan hasil penemuan penyelidikan, dengan sektor farmaseutikal dan kesihatan perlu berada di barisan hadapan bagi transformasi ini,” katanya ketika berucap di Ekspo Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata pada 2022 nilai dagangan dalam sektor farmaseutikal dan peranti perubatan antara ASEAN dan India mencecah kira-kira USD3 bilion (RM12.97 bilion) dengan Malaysia memainkan peranan penting dalam perubahan dinamik ini. 

“Kerjasama ini bukan sekadar statistik, sebaliknya ia mencerminkan kehidupan yang bertambah baik, perkongsian inovasi dan mencipta peluang. Dengan bekerjasama kita boleh manfaatkan kekuatan yang ada untuk mewujudkan pasaran penjagaan kesihatan yang lebih berintegrasi dan responsif.

“Rakan utama dalam kerjasama ini ialah Kementerian Kesihatan (KKM) terutama melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan dan ia bertujuan untuk memastikan peranti perubatan selamat, efektif dan boleh diakses.

“Kerjasama ini juga sangat penting kerana kita sedang menghadapi penjagaan kesihatan moden yang semakin kompleks dan berusaha untuk meletakkan Malaysia sebagai hab bagi teknologi perubatan,” katanya.

Ekspo tiga hari yang bermula esok dianjurkan oleh Genesis Global Exhibitions dan ACE Group, dengan Majlis Perniagaan Malaysia-India dan AIBC sebagai penganjur bersama, dan bertujuan untuk menarik lebih banyak syarikat farmaseutikal dan penjagaan kesihatan ke Malaysia.

Acara yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu menampilkan lebih 30 pempamer dari India Malaysia, Australia dan Singapura, selain dijangka menarik penyertaan daripada pemain utama dalam sektor farmaseutikal dan penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan