AM > BERITA

Bahasa Melayu Perlu Jadi 'pemain Utama' Dalam Semua Sektor - Fadhlina

23/10/2024 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Bahasa Melayu harus diangkat sebagai ‘pemain utama’ dalam pelbagai sektor bagi meningkatkan nilai ekonomi dan komersial bahasa kebangsaan di negara ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata bagi meningkatkan taraf dan peranan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam, setiap penjawat awam perlu menggunakan bahasa kebangsaan yang berkualiti dalam penyediaan dokumen rasmi, sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan, negeri atau pihak berkuasa awam.

“Pemain industri, khususnya sektor swasta seperti dalam media penyiaran, pengiklanan dan kewangan juga memainkan peranan penting dalam memperluas penggunaan bahasa Melayu yang baik untuk penyampaian maklumat yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Anwar Ridhwan pada Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 di Menara DBP di sini hari ini.

Fadhlina juga menggariskan pentingnya kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa disemarakkan bagi merapatkan hubungan, pengertian serta kerjasama kesusateraan antara negara serta menyelaras kegiatan dan penyelidikan kebahasaan, kesusateraan dan budaya serantau.

Kerjasama erat perlu diteruskan bagi membuka peluang kepada para sasterawan dalam usaha memajukan bakat, menterjemah, menerbitkan dan mengiktiraf pencapaian berkualiti dalam ciptaan sastera selain memperluas penyebaran serta penggunaan bahasa Melayu ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada DBP atas kejayaan manuskrip Melayu dari koleksi mereka iaitu ‘Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah’ yang menerima Anugerah Pengiktirafan UNESCO Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MoWCAP) 2024.

“Tahniah juga diucapkan kepada DBP kerana telah menerima Anugerah Gangsa Terulung dalam Pertandingan i-Mind Peringkat Akhir bersempena Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik 2024.

“Anugerah ini membuktikan kemampuan DBP dalam aspek berkaitan dengan pendigitalan buku teks, serta menerbitkan bahan pembelajaran bahasa Melayu secara digital yang mampu merentas sempadan geografi secara fizikal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari berkata seminar hari ini bukan hanya sebagai platform untuk berkongsi ilmu tetapi juga sebagai wadah menyatukan idea serta merumuskan hala tuju pengukuhan perancangan bahasa kebangsaan.

“Sepanjang dua hari, sebanyak 16 kertas kerja akan dibentangkan termasuk kertas ucap utama, kertas kerja dasar, tiga kertas kerja khas dan 11 kertas kerja yang merangkumi tiga skop utama iaitu Bahasa Melayu Bahasa Negara, Bahasa Melayu Bahasa Ilmu dan Bahasa Melayu Bahasa Ekonomi,” katanya.

Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024 bertujuan mempertemukan sarjana, penyelidik dan ahli profesional dari pelbagai disiplin ilmu untuk berbincang mengenai perkembangan semasa serta mengenal pasti aspek baharu dalam penggunaan bahasa.

Program dua hari mulai hari ini itu dirasmikan oleh Anwar Ridhwan dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP Md Johari Hasan, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP Fauzilahyatun Mustafa dan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia Dr Mohd Azam Ahmad.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan