AM > BERITA

Gaji Minimum Pekerja Asing, Caruman KWSP Kurangkan Beban Kewangan Kerajaan

23/10/2024 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan gaji minimum dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing dilihat dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam jangka panjang, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Bhd Group Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor.

Beliau yang mengulas mengenai Belanjawan 2025 selepas mesyuarat agung tahunan syarikat ke-40 hari ini berkata rasional kepada keputusan kerajaan itu adalah ia merupakan dasar yang sama turut dilaksanakan di negara lain.

"Tetapi kami mengharapkan lebih banyak masa diberikan supaya dapat membuat persediaan, sebagai contoh, ia dilaksanakan bermula 2026, bukannya memperkenalkannya dalam dua atau tiga bulan akan datang," kata Fateh Iskandar kepada media.

Beliau berkata Glomac terkejut dan tidak bersedia sepenuhnya untuk peralihan itu tetapi jika dasar berkenaan berkuat kuasa 1 Jan 2026, pihaknya akan mempunyai masa untuk merancang dengan sewajarnya.

"Syarikat pembinaan seperti Glomac berurusan dengan pekerja yang mengutamakan gaji harian. Seperti yang anda ketahui, kerja berjalan secara berperingkat. 

"Pekerja-pekerja ini selalunya diambil bekerja mengikut gaji harian walaupun gaji bulanan minimum telah ditetapkan. Ini menjadikan dasar ini mencabar bagi majikan dalam jangka pendek, khususnya dari segi pematuhan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan