AM > BERITA

Belum Ada Rancangan Aktifkan MPPN - Azalina

23/10/2024 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Belum ada perancangan untuk mengaktifkan semula Majlis Penasihat Petroleum Negara (MPPN), yang tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri selaku menteri yang dipertanggungjawabkan dengan hal ehwal petroleum di bawah Akta 144. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata rekod menunjukkan MPPN tidak aktif sejak 1995. 

“Bagaimanapun, Majlis Tenaga Negara (MTN) telah diaktifkan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri berhubung Dasar Tenaga Negara dan mesyuarat pertama telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 April 2024,” katanya.

Azalina berkata MTN bertujuan mengemudi hala tuju sektor tenaga negara dan memastikan kebertanggungjawaban dan kepemilikan yang kukuh oleh pelbagai kementerian dan agensi pelaksana dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif dasar berkaitan tenaga.

Keanggotaan MTN turut melibatkan wakil daripada kerajaan Sabah dan Sarawak, katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai pendirian terkini kerajaan terhadap penubuhan MPPN yang sepatutnya ditubuhkan di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 dengan keanggotaan, antaranya daripada negeri-negeri yang berkaitan.

Azalina berkata MPPN bertanggungjawab menasihatkan Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Seksyen 5(2) Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144], dengan pelantikan mana-mana ahli majlis dibuat oleh Perdana Menteri atas kapasiti jawatan yang disandang oleh ahli berkenaan di luar MPPN, melainkan dinyatakan sebaliknya.

Sementara itu, katanya Petronas masih dalam proses perundingan dengan kerajaan negeri Sarawak dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berhubung pengagihan gas asli di negeri itu.

Beliau berkata perbincangan ini telah berpanjangan kerana melibatkan pelbagai aspek dan impak yang signifikan daripada pelaksanaan Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 Sarawak dan undang-undang yang sedia ada. 

"Kesemua pihak sedang berusaha untuk mencari penyelesaian yang memenuhi kepentingan dan keperluan semua pihak yang terlibat," katanya menjawab pertanyaan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) mengenai status terkini perpindahan kuasa serta peranan mengawal selia bekalan gas asli daripada Petronas kepada Petros.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan