AM > BERITA

KPDN Perlis Rekod 198 Kes Penyeludupan Barangan Kawalan, Subsidi Sejak Januari

24/10/2024 06:59 PM

KANGAR, 24 Okt (Bernama) -- Sebanyak 198 kes berkaitan penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi rentas sempadan membabitkan rampasan bernilai RM1.22 juta direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis sejak Januari lepas hingga semalam.

Pengarah KPDN Perlis Hasbullah Abd Rashid berkata jumlah berkenaan menunjukkan penurunan mendadak selepas pelaksanaan Ops Tiris 3.0 sejak 1 Jan lepas, berbanding 312 kes membabitkan rampasan bernilai RM4.46 juta sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata jumlah kompaun dikeluarkan dalam tempoh 10 bulan ini turut mencatat penurunan dengan sejumlah RM31,300 berbanding RM273,500 pada 2023.

 "KPDN lihat Ops Tiris 3.0 ini berkesan, bahkan sekarang ini menerusi inisiatif baharu kerajaan iaitu Kita GEMPUR (Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan), kita akan terus pertingkat aktiviti penguatkuasaan di sempadan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasbullah berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun disyaki terlibat aktiviti penyelewengan petrol dan merampas 300 liter bahan api terbabit bernilai RM615 di sebuah stesen minyak di sini malam tadi.

Beliau berkata tindakan kes itu hasil risikan selama dua minggu terhadap kereta jenis Nissan Sentra bernombor pendaftaran tempatan dinaiki lelaki itu.

“Pemeriksaan terhadap kereta itu menemukan tangki tambahan diubah suai dan berisi cecair disyaki minyak petrol,” katanya dan menambah kereta terbabit disita manakala kes disiasat lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan