DUNIA > BERITA

Parti Pemerintah Uzbekistan Dahului Pilihan Raya Parlimen: Keputusan Awal

28/10/2024 09:57 PM

ISTANBUL, 28 Okt (Bernama-Anadolu) -- Parti pemerintah Uzbekistan sedang mendahului dalam pilihan raya parlimen yang diadakan pada Ahad, menyaksikan pengundi memilih ahli dewan rendah parlimen, kata ketua pihak berkuasa pilihan raya Uzbekistan pada Isnin.

Menurut laporan Agensi Anadolu, Zayniddin Nizamkhodjaev, ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat negara itu, memaklumkan dalam satu taklimat bahawa 15,027,529 pengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka, dengan kadar keluar mengundi 74.72 peratus.

Beliau juga menyatakan bahawa buat pertama kalinya dalam sejarah negara itu, sistem pilihan raya campuran digunakan dalam pilihan raya, dan lebih daripada 850 pemerhati asing dan antarabangsa memantau proses itu.

"Untuk pertama kalinya dalam sejarah negara kami, pengundian elektronik diperkenalkan sebagai percubaan di beberapa pusat pengundian di Tashkent pada hari pengundian," kata Nizamkhodjaev lagi.

Beliau turut menambah bahawa seramai 140,388 orang mengundi di 57 pusat pengundian yang ditubuhkan di 40 misi diplomatik dan konsular Uzbekistan di luar negara.

Berdasarkan keputusan awal pilihan raya, Parti Demokratik Liberal yang dipimpin oleh Presiden Shavkat Mirziyoyev memenangi 64 daripada 150 kerusi di Dewan Perundangan, iaitu dewan rendah parlimen negara itu.

Parti Demokratik Kebangkitan Nasional mengikuti parti pemerintah dengan memperoleh 29 kerusi di parlimen.

Sebanyak 11,028 pusat pengundian dibuka bermula 8 pagi waktu tempatan di seluruh negara pada Ahad semasa pilihan raya itu. Pengundian tamat pada 8 malam waktu tempatan.

-- BERNAMA-ANADOLU AGENCY

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan