AM > BERITA

KPDN Laksana Pemantauan Pastikan Peniaga Patuh Shmmp Deepavali 2024

28/10/2024 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024, yang berkuat kuasa tujuh hari bermula hari ini. 

SHMMP Deepavali 2024 menyaksikan lapan barangan iaitu bawang merah besar import, kacang dal Australia, bawang merah kecil India termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kelapa biji dan kelapa parut serta tomato disenaraikan dalam skim itu.

Di PULAU PINANG, Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata seramai 137 pegawai penguat kuasa dan 62 pegawai pemantau harga ditugaskan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah yang menjual barangan keperluan perayaan.

Tindakan itu bagi membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan selain tindakan segera boleh diambil terhadap aduan pengguna atau ke atas peniaga, jika berlaku ketidakpatuhan terhadap pelaksanaan skim tersebut. 

Beliau juga memaklumkan setakat semalam, 44,080 premis sekitar negeri ini telah diperiksa tahun ini dengan 557 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan melibatkan jumlah sitaan RM1.96 juta dan kompaun RM 250,250.

Sementara itu, di PERAK, Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata seramai 169 penguat kuasa dan 70 pegawai pemantau harga akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan sepanjang pelaksanaan SHMMP itu.

Di KELANTAN, Pengarah KPDN negeri Azman Ismail memaklumkan bekalan barangan keperluan bagi perayaan Deepavali yang disambut Khamis ini, adalah mencukupi dan pemantauan bagi skim itu melibatkan 144 pegawai penguat kuasa dan 84 pegawai pemantau harga di seluruh negeri.

Sementara itu, Di JOHOR, Pengarah KPDN negeri Lilis Saslinda Pornomo berkata 200 pegawai penguat kuasa dan 200 pegawai pemantau harga, akan terlibat dalam pelaksanaan.

Pengarah KPDN TERENGGANU Saharuddin Mohd Kia pula memaklumkan, sebanyak 120 anggota penguat kuasa dan 58 pegawai pemantau harga digerakkan ke lokasi-lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah yang menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan barangan keperluan. 

Di NEGERI SEMBILAN, lebih 100 pegawai penguat kuasa KPDN ditugaskan untuk tujuan pemantauan harga barang keperluan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.

Di SELANGOR, 10 premis pasar raya diperiksa hari ini bagi memastikan pematuhan terhadap lapan jenis barangan yang diwartakan sepanjang pelaksanaan SHMMP.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail dalam tinjauannya bersama KPDN Selangor hari ini memaklumkan, pemantauan dijalankan bermula 24 Okt lepas susulan pengumuman pelaksanaan skim kawalan harga itu yang bermula hari ini dengan kekuatan 277 anggota di seluruh negeri.

Sementara itu, di Perlis Pengarah KPDN negeri Hasbullah Abd Rashid berkata seramai 35 penguat kuasa digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga di lokasi strategik di seluruh negeri terutama di pasar awam, pasar tani dan pasar raya sepanjang pelaksanaan tempoh SHMMP itu.

“Pemeriksaan hari ini mendapati peniaga mematuhi skim harga maksimum tersebut dan menggunakan penanda harga berwarna merah jambu pada kesemua barangan tersebut,” katanya.

Hasbullah berkata pengguna diminta segera membuat aduan jika terdapat barangan yang dikawal melalui skim harga maksimum itu dijual pada harga tinggi berbanding harga sepatutnya untuk membolehkan tindakan sewajarnya dapat diambil pihak KPDN negeri.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan