AM > BERITA

Kesilapan Pandu Arah, Kapal Usang Punca KD Pendekar Karam

29/10/2024 12:49 AM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapati faktor kesilapan pandu arah dan keusangan kapal menjadi punca kepada insiden Kapal Diraja (KD) Pendekar karam di perairan Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lepas.

Markas Tentera Laut dalam kenyataan memaklumkan ia berdasarkan rekod laluan kapal tersebut yang tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai.

Selain itu, faktor keusangan kapal yang melebihi Dasar Kasting iaitu berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran berikutan kelemahan struktur badan kapal dan mempercepatkan kebanjiran merebak ke kompartmen lain.

“Usaha menyelamat dan mengapungkan KD Pendekar berjaya diselesaikan pada 15 Okt lepas oleh sebuah firma tempatan dan kapal kini dalam proses pemeriksaan teknikal,” menurut kenyataan itu.

Pada 25 Ogos lepas, KD Pendekar karam ketika melaksanakan rondaan operasi dan insiden itu berlaku apabila kapal menghadapi gegaran kuat diikuti kebanjiran besar semasa menghampiri pesisir pantai untuk melakukan pemeriksaan teknikal.

Semua 39 kru kapal berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal dagang MV ASHLEY tanpa sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, lembaga siasatan tersebut juga mengesahkan kematian penyelam TLDM Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa semasa melakukan operasi salvaj KD Pendekar disebabkan lemas.

“Keadaan di kawasan operasi yang arusnya tidak menentu dan memukul lumpur di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat terhad iaitu sekitar 1 kaki (0.3 meter) pada hari kejadian.

“Keadaan ini meletakkan penyelam berada pada situasi berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar. Apabila tali keselamatan yang digunakan oleh penyelam didapati tersangkut pada kapal tersebut, langkah kecemasan yang dilakukan mangsa tidak berhasil seterusnya menyebabkan beliau lemas,” menurut kenyataan itu.

Markas Tentera Laut dalam kenyataan sama turut memaklumkan berdasarkan siasatan, prosedur operasi standard penyelaman dan langkah keselamatan telah dipatuhi sebelum tugasan penyelaman dimulakan selain peralatan turut disahkan berfungsi dengan baik dan mangsa disahkan kompeten.

Menurut kenyataan itu TLDM mengambil serius terhadap dapatan kedua-dua insiden terbabit selain mengutamakan keselamatan dan kesiapsiagaan anggota dalam menjalankan tugas dengan sempurna mengikut garis panduan ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan