JSJN Tingkat Kerjasama Dengan PGA Banteras Laluan Tikus Di Sungai Golok

25/11/2024 04:42 PM

SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan mempertingkatkan kerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memastikan 'laluan tikus' berdekatan Sungai Golok dibanteras sepenuhnya dalam memerangi kegiatan penyeludupan dadah. 

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata arahan telah dikeluarkan kepada JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bagi memastikan isu berkaitan penyeludupan dadah diambil tindakan segera.

"Kerjasama turut dijalankan bersama-sama pelbagai pihak misalnya PGA dan agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa yang mengawal sempadan.

"Hal ini termasuk memfokuskan kepada semua laluan yang dikenal pasti menjadi lorong-lorong tikus bagi kegiatan penyeludupan dadah serta kawasan titik panas untuk kegiatan ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama turut dijalin bersama pihak berkuasa Thailand dalam memastikan kegiatan penyeludupan dadah dapat dibanteras.

Dalam pada itu, Khaw berkata sebanyak 16 sarang penagihan dadah di sekitar Selangor telah berjaya dihapuskan menerusi Op Sarang setakat Oktober lepas.

Beliau berkata sebanyak 2,136 individu terdiri daripada pengedar serta penagih dadah ditahan hasil daripada 553 serbuan.

“Hasil operasi sama, polis turut merampas 3.072 kilogram (kg) heroin, syabu (1.563 kg), ganja (351 gram), daun ketum (6,800 gram) dan air ketum (9,900 mililiter). 

"Sebanyak 26 individu turut dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan