KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disaran mempertimbangkan cadangan pembangunan sistem terowong utiliti iaitu Common Utility Tunnel (CUT) seperti digunakan di Putrajaya, sebagai usaha meningkatkan kecekapan projek penyelenggaraan utiliti bawah tanah di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata CUT di Putrajaya menyediakan perlindungan kepada infrastruktur utiliti seperti kabel elektrik, paip air dan telekomunikasi daripada kerosakan semasa pembinaan serta membolehkan akses selamat untuk penyelenggaraan.
"Sistem ini juga boleh diintegrasikan dengan pusat kawalan bandar menggunakan teknologi telemetri bagi pemantauan keselamatan dan dengan mengguna pakai teknologi ini, DBKL sudah pasti dapat meningkatkan kecekapan dan keselamatan dalam penyelenggaraan utiliti bawah tanah secara terancang serta menyeluruh.
“Ini seiring dengan visi CHASE City untuk bandar selamat, sihat dan lestari," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan dibangkitkan oleh Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) tentang rancangan kerajaan untuk menaik taraf dan menyelenggara utiliti bawah tanah di Kuala Lumpur.
Dr Zaliha berkata penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memperkasakan peranan DBKL dalam meningkatkan kecekapan penyelenggaraan utiliti bawah tanah di ibu negara.
Selain itu, beliau juga mencadangkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur supaya DBKL mencontohi amalan terbaik pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara maju yang memainkan peranan lebih besar dalam pemetaan utiliti bawah tanah seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.
PBT di negara-negara itu, katanya antara lain turut bertanggungjawab dalam koordinasi dan penyelarasan dengan pelbagai syarikat utiliti untuk memastikan kerja-kerja melibatkan utiliti bawah tanah dilakukan secara tersusun dan tidak mengganggu perkhidmatan atau infrastruktur lain.
Dr Zaliha berkata buat masa ini, DBKL hanya terlibat secara tidak langsung dalam mengawal selia kerja-kerja melibatkan utiliti bawah tanah, terutamanya dari aspek pengeluaran permit korekan, pemantauan keselamatan, dan memastikan kerja-kerja dilakukan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Manakala tanggungjawab bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan utiliti bawah tanah seperti pembetungan, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi di Kuala Lumpur terletak pada syarikat-syarikat yang memiliki aset tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial