AM > BERITA

Kesedaran Mengenai Kepentingan Persijilan Halal Semakin Tinggi - Mohd Na’im

29/10/2024 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Jumlah kutipan fi persijilan halal menunjukkan peningkatan setiap tahun, sekali gus menggambarkan kefahaman serta kesedaran mengenai kepentingan persijilan halal sebagai nilai tambah perniagaan dalam kalangan usahawan dan pihak industri semakin tinggi, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata jumlah keseluruhan kutipan fi persijilan halal yang diterima Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) ataupun Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seluruh negara dari tahun 2012 sehingga 2023 adalah sebanyak RM80,032,254.43.

Katanya pada tahun 2012, jumlah kutipan fi pensijilan halal ialah RM3,641,120, 2013 (RM2,916,468.03), 2014 (RM4,210,323), 2015 (RM4,521,300), 2016 (RM6,361,300), 2017 (RM7,429,602), 2018 (RM7,997,901.40), 2019 (RM9,295,300), 2020 (RM8,872,800), 2021 (RM10,115,500), 2022 (RM10,783,600) dan 2023 (RM12,153,640).

Mohd Na’im berkata jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada 2012 hingga 2023 ialah sebanyak 85,893 syarikat.

Katanya pada 2012, jumlah pemegang SPHM ialah 4,000 syarikat, 2013 (3,597), 2014 (5,276),2015 (5,441), 2016 (5,914), 2017 (7,073), 2018 (7,579), 2019 (9,016), 2020 (8,302), 2021 (8,879), 2022 (9,655) dan 2023 (11,161).

“Peningkatan ini juga menunjukkan bahawa pensijilan halal Malaysia dapat diterima baik oleh pihak industri dan pengguna di negara ini,” katanya ketika menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) pada sesi soal jawab hari ini.

Pang meminta Perdana Menteri menyatakan dengan terperinci jumlah keseluruhan yang dikutip oleh JAKIM untuk pengeluaran sijil halal bagi setiap tahun dari tahun 2012 hingga 2023 dan jumlah sijil halal yang dikeluarkan untuk tempoh yang sama.

Dalam pada itu Mohd Na’im berkata kerajaan sentiasa komited untuk meningkatkan jumlah permohonan pensijilan halal Malaysia daripada kalangan pemain industri termasuk usahawan industri kecil dan mikro.

“Dalam hal ini, kerajaan melalui JAKIM dan MAIN atau JAIN mengadakan kolaborasi serta kerjasama dengan agensi pembimbing dengan matlamat mempersiapkan industri agar dapat bersedia dan memenuhi segala keperluan bagi permohonan pensijilan halal,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan