SIBU, 29 Okt (Bernama) -- Guru besar sekolah rendah di seluruh Sarawak diminta agar memastikan anak-anak murid mereka menduduki ujian penilaian secara dalam talian bagi kemasukan ke Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata ini kerana kemasukan atau pendaftaran ke sekolah tersebut adalah melalui guru besar.
“Ujian penilaian tersebut terbuka kepada semua pelajar tetapi mereka mesti mendaftar ataupun mesti melalui guru besar.
“Sebab itu saya galak guru besar memastikan murid mereka menduduki peperiksaan tersebut sebab permohonan adalah melalui guru besar dan setelah menduduki ujian itu barulah mereka ditapis untuk memasuki sekolah antarabangsa tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) Zon Bandar Sibu kali ke-49 di Stadium Tun Zaidi hari ini.
Dr Annuar yang ditanya mengenai perkembangan terkini ujian penilaian ke sekolah tersebut bagi 2025 yang diadakan pada 19 Okt lepas, berkata beliau tidak mempunyai data untuk perkara tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata ujian tersebut adalah untuk murid di seluruh Sarawak bagi kemasukan ke dua YSISS di Kuching.
“Untuk YSISS di Sibu yang dijangka siap akhir tahun ini kohort pengambilan pertama akan dilakukan pada 2026.
“Jadi murid yang akan masuk tahun enam pada tahun depan, mereka inilah yang akan berpeluang untuk mendapat pendidikan di sekolah tersebut bagi kohort yang pertama nanti,” katanya.
Selain menduduki ujian penilaian tersebut, syarat lain bagi kemasukan ke YSISS adalah calon mesti berkelayakan minimum Band 5 (TP5) dalam Pentaksiran Bilik Darjah untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dan murid atau seorang daripada ibu bapanya mestilah anak negeri ini atau pemastautin tetap Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial