SUKAN > BERITA

Piala Tun Ali 2024 Jadi Medan Pilih Empat Lagi Pemain - PSM

27/11/2024 08:55 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2024 bulan hadapan menjadi medan buat Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memilih empat lagi pemain bagi diserap ke dalam skuad sepak takraw lelaki kebangsaan.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata 14 pemain telah dimuktamadkan setakat ini dengan pencarian bakinya diteruskan menerusi penilaian dan pemantauan pada kejohanan berkenaan yang akan berlangsung dari 2 hingga 8 Dis ini di Melaka.

"Saya senaraikan cuma 14 pemain sebelum ini yang patut dikekalkan berdasarkan prestasi dan tahap terkini mereka … selebihnya kita tunggu prestasi pada Piala Tun Ali yang menjadi platform terakhir nilai pemain.

"Pihak jawatankuasa juga telah bersetuju dengan perkara itu dan kita sedang lihat (kuota) untuk isi pemain muda. Kita sudah mempunyai senarai nama, tetapi masih mahu melihat prestasi mereka," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini semalam.

Beliau juga telah memohon pertimbangan pihak MSN untuk menambah kuota daripada 18 sedia ada kepada 21 hingga 24 pemain untuk diserap ke dalam skuad lelaki kebangsaan sebagai persiapan mengharungi tiga kejohanan besar, iaitu Piala Asia di Kuala Lumpur serta Piala Raja Thai dan Sukan SEA Thailand tahun hadapan.

"Rata-rata pemain akan kita pilih ini berpotensi, namun untuk memilih 18 atau 21 pemain terbaik juga perlu lihat akan kesesuaian posisi mereka untuk bermain dalam acara mana. Kejohanan besar tahun hadapan semuanya menampilkan acara double, kuadran dan berpasukan.

"Ketua jurulatih Ahmad Jais (Baharun) dan barisan kejurulatihan juga memikirkan tentang pemain yang sesuai, sekiranya berpasukan pemain itu juga boleh bermain dalam acara kuadran dan double. Tak boleh semua main acara regu, regu hanya satu," katanya.

Mohd Sumali berkata penambahan kuota pemain turut menerima reaksi positif daripada pihak MSN, namun sedang diperhalus. 

"Secara dasarnya ia akan dibawa ke perbincangan peringkat mereka (MSN). Mungkin mereka setuju (tambah kuota), tetapi kena lihat kepada peruntukan. Jika ada tambahan kuota, kita akan isikan pemain muda," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan