AM > BERITA

Penyertaan BRICS Lambang Kesiapsiagaan Malaysia Harungi Tatanan Dunia

30/10/2024 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Keputusan Malaysia untuk menyertai BRICS bukan sekadar kepentingan politik, tetapi melambangkan kesiapsiagaan negara untuk mengharungi tatanan dunia yang kian beralih kepada multipolari, kata pengasas bersama gerakan memperkasa belia dalam bidang bidang diplomasi, MyDiplomacy Syed Nizamuddin Sayed Khassim.

Beliau yang juga Pegawai Tadbir dan Diplomatik berkata Malaysia wajar mempersiapkan diri untuk turut sama menyumbang dalam wadah yang membentuk tatanan dunia baru mendakap multipolariti dan bukan lagi sekadar 'survive' dalam menghadapi dunia yang semakin merencam. 

"Dalam istilah (jargon) hubungan antarabangsa, pendekatan Malaysia dalam mengemudi asakan kuasa besar yang saling berantakan adalah disebut 'hedging, merujuk kepada strategi yang mana sesebuah negara tidak membundar sepenuhnya dalam blok kuasa tertentu, tetapi menjaga hubungan baik dengan pelbagai pihak sebagai langkah berjaga-jaga.

"Pendekatan ini membolehkan negara tersebut mengekalkan fleksibiliti, keseimbangan dan kelincahan dalam dasar luarnya selain mengelakkan risiko kebergantungan terlampau (overdependence) yang sekali gus (boleh) menghakis kedaulatan negara," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Syed Nizamuddin berpendapat bahawa keputusan Malaysia untuk menyertai BRICS merupakan lanjutan daripada dasar 'hedging' yang konsisten, selain sebagai usaha untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada dolar Amerika Syarikat (AS), selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Walaupun  terdapat perdebatan mengenai keberkesanan BRICS, satu perkara yang pasti ialah ia adalah kumpulan negara yang mencabar dominasi Barat dalam tatanan dunia," katanya yang menamatkan pengajian MSt in Diplomatic Studies di Universiti Oxford dan lulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam (MPA) Universiti Malaya . 

Pada 24 Okt, Bernama melaporkan Malaysia telah diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang secara rasmi ditambah ke dalam BRICS sebagai negara rakan kongsi, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang kepada satu perlima perdagangan global.

Berdasarkan kemas kini dari @BRICSInfo di X,  blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu ke dalam perikatan sebagai negara rakan kongsi, walaupun belum sebagai ahli penuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Julai lepas, mengesahkan Malaysia telah menyerahkan permohonan kepada Russia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS. 

Syed Nizamuddin yang juga kolumnis diplomatik berkata sejarah negara juga memperlihatkan dasar luar Malaysia sentiasa konsisten dibentuk berteraskan pragmatisme dan survival negara, walaupun pada awal penubuhannya adalah pro-Barat.  

Ini kerana kebergantungan negara pada masa itu kepada negara Barat untuk pertahanan dan kelangsungan hidup, terutamanya ketika berhadapan dengan ancaman komunis dan konfrontasi dari Indonesia. Sebagai contoh, Pangkalan Tentera Laut British di Sembawang, Singapura, berfungsi sebagai paksi pertahanan British di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, dasar luar itu mula beranjak selepas keputusan Britain menarik diri dari "timur terusan Suez" pada tahun 1967, yang menyebabkan Malaysia menyedari bahawa negara perlu melindungi kepentingannya sendiri dalam menghadapi perubahan tatanan dunia yang kian rancak. 

"Malaysia mula mengubah pendekatan dengan menyertai Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada 1970 dan menjadi negara Asia Tenggara bukan komunis pertama menjalin hubungan diplomatik dengan Beijing pada 1974. Perubahan drastik dasar luar negara semasa pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdul Razak tidak sama sekali bermaksud Malaysia sudah bertukar aliansi. 

"Sebaliknya, negara tetap mengekalkan hubungan kukuh dengan AS dan kuasa Barat yang lain, umpama 'mendayung antara dua karang', di mana bahtera perlu dikemudi dengan teliti untuk melayari perairan yang penuh ranjau," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan