AM > BERITA

ST Minta Orang Ramai Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas Di Musim Perayaan

30/10/2024 07:54 PM

PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan elektrik dan gas ketika musim cuti perayaan Deepavali yang diraikan esok.

ST dalam kenyataan hari ini memaklumkan agar suis dan kelengkapan elektrik yang tidak digunakan di rumah dimatikan serta memastikan injap silinder gas ditutup sekiranya pulang ke kampung atau bercuti.

Pengguna juga perlu memastikan pendawaian elektrik di rumah selamat dengan cara menguji Peranti Arus Baki (PAB) dengan menekan butang uji ‘T’ sekurang-kurangnya sekali sebulan agar berfungsi dengan baik.

"Jika PAB berfungsi dengan baik, ia akan terpelantik dan bekalan elektrik akan terputus serta-merta dan dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST untuk menggantikan PAB sekiranya tidak berfungsi," kata kenyataan itu.

Selain itu, pengguna perlu memastikan wayar kelengkapan elektrik tidak koyak atau terdedah sebelum digunakan, mengguna kelengkapan elektrik dan lampu hiasan dengan label keselamatan ST-SIRIM serta tangan dalam keadaan kering semasa menggunakan kelengkapan elektrik.

ST juga mengingatkan pengguna elak bebani soket dengan menggunakan kelengkapan elektrik yang berlebihan atau dengan beban yang tinggi, menggantung perhiasan perayaan pada tiang elektrik dan menggunakan telefon bimbit semasa ia sedang dicas. 

Bagi keselamatan gas, ST memaklumkan pengguna untuk memastikan dapur gas memasak selamat dengan menggunakan perkakas dapur gas yang mempunyai label keselamatan ST-SIRIM dan peka dengan kewujudan bau kebocoran gas di kawasan dapur.

Selain itu, pengguna perlu mengadakan bukaan pengudaraan secukupnya di kawasan dapur dengan membuka tingkap atau pintu ketika memasak.

Mengikut ST, sekiranya mengesan bau gas, langkah perlu diambil termasuk membuka tingkap atau pintu untuk galakkan pengudaraan di kawasan berkenaan, jangan buka atau tutup suis di kawasan itu.

Pengguna juga diingatkan jangan membawa peralatan atau kelengkapan yang boleh mencetuskan penyalaan atau percikan api berhampiran kawasan dapur dan mencari punca kebocoran gas dengan menggunakan alat pengesan atau buih sabun dan baiki dengan segera.

ST memaklumkan agar tidak tinggalkan dapur gas memasak ketika digunakan tanpa pengawasan sepenuhnya serta mendapatkan perkhidmatan kontraktor gas yang berdaftar dengan ST untuk sebarang kerja pembaikan paip gas di rumah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan