AM > BERITA

Pesta Cahaya Menerangi Perpaduan Rakyat Malaysia

31/10/2024 12:56 AM

Oleh Jaiarajo Letchumanan

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Deepavali yang juga disebut sebagai Diwali, perayaan yang paling dinantikan dan disambut secara meriah oleh penganut Hindu di Malaysia, India serta seluruh dunia.

Ketika seluruh rumah diterangi cahaya dan warna-warna ceria sempena Diwali, jelas perayaan itu turut ‘menerangi’ perpaduan dan keharmonian di negara ini, dengan seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama berkongsi kegembiraan, makanan, dan sudah pastinya cuti panjang hujung minggu.

Dianggap sebagai perayaan cahaya, kesenangan, kekayaan dan kegembiraan, ia biasanya disambut pada malam paling gelap bulan Kartik dalam kalender Hindu, yang juga dikenali sebagai Kartik Amavasya.

Deepavali dalam bahasa Sanskrit bermaksud ‘Pesta Cahaya’ apabila penganut Hindu menerangi rumah mereka menggunakan lampu tanah liat dengan sumbu dipanggil ‘diyas’ atau pelbagai bentuk lampu lain (trend semasa penggunaan lampu LED). 

Cahaya keemasan daripada lampu bukan sahaja melambangkan kehangatan yang dibawa oleh lampu itu malah simbol kepada segala bentuk pencapaian sama ada kekayaan dan kemasyhuran atau pengetahuan, kejayaan dan kedamaian. 

Perayaan penuh berwarna-warni yang disambut oleh penganut Hindu di seluruh dunia itu biasanya jatuh pada akhir Oktober atau awal November, dan tahun ini hari yang istimewa itu jatuh pada 31 Okt (Khamis)

Penganut Hindu menganggap Deepavali sebagai satu daripada perayaan paling penting. Legenda di sebalik perayaan itu ialah kisah seorang raja jahat, Narakasura yang memerintah kerajaan Pradyoshapuram secara kuku besi menyebabkan rakyat hidup menderita dan wanita dikurung dalam istananya.

Menyaksikan rakyat hidup sengsara, Dewa Krishna berusaha menghancurkan Narakasura dan hari kematiannya diraikan sebagai Deepavali, simbol kebaikan mengalahkan kejahatan.

Persiapan Deepavali biasanya bermula sekurang-kurangnya dua atau tiga minggu sebelum sambutan perayaan itu dengan membersihkan rumah malah sesetengahnya mengubah suai rumah atau sekadar mengecat rumah, menukar langsir dan sofa baharu.

Tidak ketinggalan membeli-belah pakaian baharu dan aksesori untuk seisi keluarga selain memberi hiasan tambahan untuk rumah serta mengukir 'kolam’ di pintu masuk dengan motif tradisional Rangoli untuk menyambut Lakshmi, dewi kekayaan dan kemakmuran.

‘Kolam’ mengandungi elemen reka bentuk yang bersifat geometrik seperti titik, garis, segi tiga, segi empat, bulatan dan simbol bertuah lain seperti swastika, burung merak, kerang, teratai, trisula, jejak kaki, dan bintang yang berkaitan dengan ekspresi harmoni kosmik dan tenaga spiritual dalam amalan Veda tertentu.

Beras, kelapa parut berwarna warni serta serbuk perak dan emas digunakan dalam pembuatan ‘kolam’ selain daripada tepung beras dan corak ini secara tradisinya akan dibuat di atas lantai di sudut tertentu seperti sekitar tempat sembahyang, pintu masuk dan di atas tikar makan oleh kaum wanita untuk menambah keceriaan pada sambutan.

Pada hari perayaan, penganut Hindu biasanya akan bangun awal dan upacara pertama ialah mandi minyak, halia tradisi penting yang dipertahankan hingga kini meskipun generasi muda lebih suka menggunakan sabun dan syampu.

Seterusnya, mereka akan mengenakan pakaian baharu, si lelaki memakai dhoti atau kurta manakala wanitanya bergaya dengan sari sutera, sut Punjabi, lengha, sut Karisma yang berwarna-warni sebelum menuju ke kuil dan mereka biasanya tidak gemar berpakaian hitam.  

Pada hari istimewa ini, penganut Hindu akan memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang tua dan yang telah meninggal dunia, yang juga satu daripada ritual penting.  

Mengunjungi rumah terbuka sudah tentunya menjadi aktiviti paling menarik pada hari Deepavali untuk menikmat pelbagai makanan India dan kuih muih yang enak.

Tetamu pastinya akan dilayan dengan manisan dan kuih muih seperti muruku yang menjadi sajian utama kerana ia bukan sahaja popular dalam kalangan masyarakat India tetapi Melayu dan Cina juga menyukai keranggupannya.

Memandangkan masyarakat India sinonim dengan makanan pedas, kari ayam atau kambing, sambal udang dan kari kepala ikan menjadi sajian wajib pada hari istimewa ini. Di rumah penganut Hindu yang vegetarian pula sajian popular seperti tose, idli, puri dan naan sudah pasti menjadi pilihan mereka. 

Antara negara yang meraikan Deepavali dengan meriah dan cara mereka tersendiri ialah India, Malaysia, Singapura, Sri Lanka, Mauritius, Fiji, Guyana, Thailand, Afrika Selatan, Trinidad, Australia,  United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kanada serta banyak lagi. 

Deepavali, yang merupakan hari istimewa untuk penganut Hindu dan disambut bersama rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, telah menjadi antara perayaan utama di Malaysia dan akan terus diraikan. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan