KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Pembukaan semula Jalan Masjid India kepada orang awam hari ini menjadi detik yang dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh komuniti setempat tetapi juga pelancong luar yang ingin menyaksikan lokasi tumpuan ramai itu kembali meriah.
Bagi peniaga M. Rani, 47, pembukaan semula jalan ini membawa makna yang besar kerana dijangka dapat merancakkan semula aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan serta menarik lebih ramai pengunjung.
“Kebiasaannya, lokasi ini menjadi tumpuan orang ramai, terutamanya ketika sambutan ambang tahun baharu. Namun, tahun ini keadaan agak berbeza. Sejak Jalan Masjid India ditutup, ramai yang takut untuk datang ke sini kerana bimbang tentang keselamatan mereka.
“Selepas saya mendapat tahu jalan ini telah dibuka semula, saya berasa lega. Pembukaan ini amat bermakna buat kami para peniaga, apatah lagi dengan sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya ketika ditemui Bernama di sekitar Jalan Masjid India di sini, hari ini.
Seorang pelancong dari Australia, Harvey Jones, 34, turut meluahkan keyakinannya untuk mengunjungi kawasan tersebut dan memuji kerja-kerja pembaikan yang diselesaikan dengan pantas oleh pihak berkuasa.
“Kami membuat keputusan untuk bercuti di Malaysia sempena Tahun Baharu. Secara kebetulan, semasa melalui kawasan ini, saya dan isteri memutuskan untuk melihat lokasi insiden tanah jerlus tersebut. Kami sangat terkejut apabila mendapati laluan pejalan kaki telah dibaik pulih dan dibuka semula kepada orang awam hari ini.
“Kami berasa sangat gembira kerana jalan ini telah dibuka dengan selamat. Pihak berkuasa telah menjalankan tugas mereka dengan sangat baik. Ini memberikan keyakinan kepada saya dan isteri bahawa keselamatan kami terjamin di sini,” katanya.
Sementara itu, kakitangan swasta Nur Intan Maisarah Jamaluddin, 26, berharap pihak berkuasa dapat menjalankan pemeriksaan berkala di kawasan tersebut bagi memastikan tragedi serupa tidak berulang pada masa hadapan.
Untuk rekod, pada 23 Ogos lepas, seorang wanita warga India, G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial