AM > BERITA

2,000 Peserta Sertai Kejuaraan Silat Di Kedah

01/11/2024 11:07 AM

ALOR SETAR, 1 Nov (Bernama) -- Kira-kira 2,000 pesilat termasuk kanak-kanak seawal usia lima tahun dan peserta dari luar negara berentap pada edisi sulung Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa 2024 bermula malam tadi hingga Isnin ini.

Kejohanan anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Pertubuhan Silat Pusaka Gayong Malaysia itu mempertandingkan pelbagai kategori yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM56,000.

Penaung Pesaka Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata penganjuran itu sebagai platform bagi pelapis silat menonjolkan bakat masing-masing seterusnya dapat diangkat mewakili negeri dan negara di pelbagai pertandingan.

“Kejohanan ini bertujuan menggilap bakat muda dalam seni mempertahankan diri silat dan sebagai persiapan kepada mereka untuk melangkah ke kejohanan lebih tinggi termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

“Ini antara agenda dan inti pati yang kita kena buat dalam masa dua tahun untuk kita gilap bakat-bakat baharu supaya menjadi pelapis untuk mewakili negeri Kedah dalam kejuaraan akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa di sini, malam tadi.

Beliau turut berharap kejohanan berkenaan menyemarakkan kembali seni silat di Kedah yang sebelum ini melahirkan ramai penyumbang pingat di pentas antarabangsa menerusi sukan itu.

Katanya sambutan amat menggalakkan termasuk peserta dari beberapa negara jiran yang menjadi pemangkin untuk penganjuran kejohanan lebih besar pada masa akan datang.

Zuraidi berkata Pesaka Kedah turut berhasrat untuk menubuhkan sebuah akademi silat untuk memartabatkan lagi seni mempertahankan diri warisan itu selain membangunkan bakat baharu.

Menurut beliau ketiadaan akademi menyebabkan Kedah agak ketinggalan berbanding negeri lain dalam sukan silat di pentas kejohanan termasuk SUKMA.

“Sekurang-kurangnya kita kena ada akademi silat di negeri Kedah...kita tengok di negeri lain ada akademi dalam silat tapi Kedah ini masih belum ada.

“Jika kita tengok pada tahun 80-an, 90-an ramai atlet silat dari Kedah memberi sumbangan pingat di peringkat antarabangsa dan juga dalam negara,” katanya.

Beliau berkata ramai anak muda yang berbakat dalam seni silat di negeri ini namun tidak dapat dikembangkan kemahiran mereka disebabkan kekangan prasarana dan tunjuk ajar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan