AM > BERITA

Sultan Sharafuddin Titah Rakyat Bayar Zakat Pada Amil Dilantik Di Selangor

01/11/2024 06:54 PM

SHAH ALAM, 1 Nov (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyeru umat Islam di Selangor membayar zakat kepada amil dilantik di negeri berkenaan.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian berikutan masih terdapat kes ejen dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri tertentu yang mengutip zakat di Selangor, iaitu di luar kawasan yang diperuntukkan. 

Menerusi hantaran di laman Facebook Royal Selangor Office hari ini, baginda bertitah janji pulangan rebat yang lumayan menyebabkan ejen terbabit menjadi rakus mengutip zakat sehingga merentasi negeri lain walaupun menyalahi Akta Kesalahan Jenayah Syariah negeri berkenaan.

"Dana zakat di Selangor sangat penting untuk menyantuni para asnaf dan yang diperlukan adalah sebanyak RM1.36 bilion.

“Jika kutipan zakat di negeri Selangor 'diseludup' ke tempat lain oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sudah tentu golongan asnaf yang sepatutnya menikmati bantuan zakat akan dizalimi dan hak mereka juga dinafikan," titah baginda.

Dalam hal itu, Sultan Sharafuddin bertitah agar umat Islam di negeri berkenaan memahami dan menghayati inti pati khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk "Bayarlah Kepada Amil Yang Dilantik Di Selangor"  yang disampaikan di masjid-masjid seluruh Selangor.

Baginda mengingatkan bahawa di negeri ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan mengurus hal ehwal Islam termasuk urusan pelantikan atau pentauliahan amil zakat.

Titah baginda, dari sudut hukum syarak, mengutip zakat di luar dari sempadan negeri merupakan satu kesalahan dan zakat dibayar kepada ejen yang melanggar serta merentas sempadan majlis agama Islam negeri adalah tidak sah.

“Cuba bayangkan, zakat yang dibayar kepada pihak tidak bertanggungjawab ini yang disangka sah dan telah memenuhi kewajipan berzakat, rupa-rupanya tidak sah dan kewajipan berzakat masih lagi belum tertunai. 

“Apakah kesannya pula jika tidak menunaikan zakat? Nasib orang-orang yang tidak membelanjakan harta mereka untuk membayar zakat adalah azab seksa yang amat pedih di akhirat kelak,” titah baginda.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan