AM > BERITA

Johor Catat Kutipan Zakat RM288 Juta Setakat Oktober - Exco

18/11/2024 04:28 PM

ISKANDAR PUTERI, 18 Nov (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mencatat kutipan zakat RM288 juta dari Januari hingga Oktober tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.

Beliau berkata jumlah berkenaan merupakan 75 peratus daripada sasaran zakat tahun ini iaitu RM400 juta dengan kutipan dijangka meningkat pada bulan ini dan Disember.

"Dua minggu lepas MAINJ melancarkan Barakah Zakat 2024 sebab kita menghasratkan dua bulan terakhir ini pecutan paling laju untuk kita capai sasaran berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembayaran Zakat, Pembiayaan Bantuan Zakat MAINJ dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Agrobank di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat MAINJ Datuk Nooh Gadot, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ Hasrin Kamal Hashim.

Tahun lepas MAINJ merekodkan kutipan zakat sebanyak RM388 juta dan jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding RM 367.5 juta pada 2022.

Sementara itu, Mohd Fared berkata kerajaan negeri bercadang mentauliahkan ketua kampung sebagai amil bagi memastikan setiap asnaf tidak tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan.

Beliau berkata kertas kerja mengenainya sedang disiapkan bagi dibawa ke dalam mesyuarat penuh MAINJ sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaku Ketua Agama Islam Negeri. 

"Di setiap daerah ada Amin Baitulmal dan di setiap kawasan pula kita ada amil agihan zakat tapi bilangannya (46 orang amil) terhad, sedangkan ketua kampung lebih ramai, jadi MAINJ lihat perkara ini kurang seimbang. 

"Secara asasnya cadangan ini wajar sebab pastilah orang kampung senang rujuk mereka tapi sekarang ini seolah ada pemisahan, ketua kampung jaga kampung, namun bab bantuan rujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jadi lebih baik orang sama jaga kampung, dia juga jaga kebajikan penduduk," katanya.

Sementara itu, Mohd Fared memaklumkan kira-kira 22,000 ketua isi rumah (KIR) asnaf akan dilindungi takaful tahun hadapan menerusi inisiatif MAINJ bersama Agrobank.

Beliau berkata Johor merupakan antara negeri terawal yang memulakan usaha berkenaan untuk menjaga kebajikan golongan itu sekiranya berlaku sebarang insiden ketika bekerja. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan