AM > BERITA

Operasi Padam Kebakaran Di Tapak Kitar Semula Pengkalan Chepa Tamat - Bomba

01/11/2024 07:11 PM

KOTA BHARU, 1 Nov (Bernama) -- Operasi memadam kebakaran di sebuah tapak pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini tamat sepenuhnya hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa Alam Nasut Ilias berkata pihaknya akan menyerahkan kepada pemilik syarikat terbabit untuk melakukan pemantauan selanjutnya bermula malam ini.

"Kita akan serahkan tanggungjawab kepada pemilik syarikat untuk melakukan pemantauan seterusnya bermula malam ini kerana operasi memadam kebakaran telah tamat sepenuhnya pada 5.04 petang tadi.

"Sekiranya ada asap yang masih keluar di kawasan terlibat mereka boleh hubungi pihak bomba untuk tindakan selanjutnya dan saya difahamkan syarikat terbabit akan mula beroperasi esok untuk membersihkan kawasan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Alam Nasut berkata pihaknya turut membuat beberapa pemetakan dengan menggunakan jengkaut untuk mengasingkan bahan-bahan yang terbakar itu supaya dapat mengawal kebakaran daripada merebak sekiranya berlaku kembali.

"Jabatan Forensik Bomba juga telah membuat siasatan mengenai insiden itu dan punca kejadian masih belum dikenal pasti," katanya.

Pada 27 Okt lepas, tapak pengumpulan bahan kitar semula berkenaan terbakar 80 peratus pada kira-kira 6 petang dan 40 anggota bomba terlibat dalam usaha memadam kebakaran itu dengan bantuan lima jentera dan empat lori tangki air.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan