AM > BERITA

10 Projek Naik Taraf Di Kampung Angkat Jabatan Audit Negara Siap

03/11/2024 03:10 PM

LARUT, 3 Nov (Bernama) -- Sebanyak 10 projek naik taraf yang dilaksanakan Jabatan Audit Negara (JAN) untuk program Kampung Angkat MADANI di Kampung Masjid, Ijok, di sini berjaya disiapkan bulan lepas.

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata antara projek berkenaan ialah pembinaan dewan sekolah, pemasangan lampu solar dan menaik taraf kemudahan di masjid serta kemudahan awam seperti ruang perniagaan, gelanggang futsal, taman permainan dan sistem saliran yang membabitkan kos sebanyak RM2.5 juta.

“Sebagai Ketua Audit Negara, pada pandangan saya, perancangan sebegini amat berkesan dalam menentusahkan dana kerajaan dibelanjakan mengikut objektifnya serta dilaksanakan dengan cekap dan memberi manfaat kepada orang awam.  

“Kejayaan projek Kampung Angkat MADANI ini membuktikan keprihatinan kerajaan untuk menelusuri permasalahan di desa melalui kaedah turun padang oleh ketua jabatan dan memastikan semua masalah dapat diselesaikan dengan lebih cekap,” katanya ketika merasmikan Kampung Angkat MADANI JAN di Kampung Masjid, Ijok di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun mewakili Menteri Besar, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Selain itu, Wan Suraya berharap semua pihak termasuk agensi negeri mengambil tanggungjawab menyenggara dan menjaga kemudahan dengan sebaiknya.

“Sebagai Ketua Audit Negara, saya dapati banyak isu audit terhadap pengurusan projek atau kerja pembangunan yang lemah disebabkan kelemahan pengurusan penyenggaraan dan penguatkuasaan yang menyebabkan objektif penyediaan kemudahan untuk dimanfaatkan oleh rakyat tidak tercapai,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Haji Wan Jaafar, Mohamad Hasan Bakri, 54, berkata pembinaan dewan sekolah telah memberi manfaat besar kepada murid bagi pelaksanaan aktiviti di sekolah. 

“Dengan adanya dewan itu, kita boleh memanjangkan aktiviti-aktiviti tertentu tanpa terkesan dengan hujan dan panas. Selain itu, alhamdulillah dengan adanya dewan ini, ia memudahkan pihak sekolah untuk mengawal keselamatan murid,” katanya.

Pada 6 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara supaya memilih kampung asal atau kampung lain untuk dijadikan kampung angkat bagi memastikan pembangunan tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan