AM > BERITA

MCMC Teliti Teknologi Satelit LEO, Tambah Baik Liputan Internet - Teo

04/11/2024 02:39 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang meneliti perkembangan teknologi baharu termasuk direct to device yang menggunakan teknologi satelit Low Earth Orbit (LEO) bagi menambah baik liputan internet, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata teknologi baharu penyediaan perkhidmatan internet itu akan memberi manfaat kepada pengguna terutama penduduk di luar bandar dan kawasan pedalaman.

Beliau berkata langkah itu antara komitmen MCMC untuk menambah baik perkhidmatan internet dan infrastruktur komunikasi di seluruh negara.

“Selain itu berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai dan dapatan MCMC mengenai isu liputan yang dihadapi serta perancangan berterusan, beberapa penambahbaikan akan dilakukan, termasuk mengenal pasti lokasi yang bersesuaian untuk dimasukkan dalam JENDELA Fasa 2 kelak,” katanya pada sesi soal jawab hari ini.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mengenai lokasi yang memerlukan peningkatan sambungan Internet dan usaha kementerian memperbaikinya melalui teknologi terkini seperti satelit atau menara bagi menangani masalah sambungan yang lemah.

Teo berkata di bawah JENDELA Fasa 1 sehingga 30 Sept lepas, bagi Sarawak 524 daripada 902 menara komunikasi baharu siap dibina dan beroperasi, manakala 4,376 daripada 4,386 stesen pemancar sedia ada dinaik taraf dan 151,695 daripada 207,135 premis sudah tersedia dengan capaian gentian optik.

Selain itu beliau berkata kesemua 523 lokasi di negeri itu telah menikmati perkhidmatan Internet menggunakan teknologi satelit Broadband Wireless Access (BWA).

Bagi kawasan Parlimen Julau Teo berkata terdapat lima menara komunikasi baharu siap dibina dan beroperasi, 43 stesen pemancar sedia ada dinaik taraf, 952 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik dan 46 lokasi menikmati perkhidmatan Internet BWA di bawah inisiatif JENDELA Fasa 1.

Beliau berkata selain itu terdapat 43 lokasi lagi di kawasan parlimen itu sudah dikenal pasti di bawah inisiatif JENDELA Fasa 1 dan proses pelaksanaan projek dijangka siap secara berperingkat sehingga penghujung 2025.

Menjawab soalan tambahan Larry bila teknologi satelit LEO dapat digunakan, Teo berkata bagi JENDELA Fasa 2, sebanyak 2,700 lokasi dikesan memerlukan penambahbaikan liputan Internet dan MCMC sedang mengenal pasti jenis teknologi yang paling sesuai digunakan di tempat terlibat.

“Buat masa ini kita sedang meneliti teknologi apa yang paling sesuai untuk setiap lokasi supaya apabila JENDELA Fasa 2 dilaksanakan kelak, kita boleh gunakan teknologi baharu dan kita mengharapkan keputusan dapat dicapai tahun depan,” katanya.

Mengenai aduan menara komunikasi siap dibina tetapi tidak beroperasi di Sarawak, Teo berkata MCMC sudah mengarahkan penyedia perkhidmatan memberi penyelesaian interim termasuk menggunakan satelit.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan