KOTA BHARU, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan tidak campur tangan dalam siasatan terhadap enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis wanita dari Kelantan yang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di sebuah hotel dekat pekan Sungai Golok, Jumaat lepas.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata kes berkenaan diharap dapat menjadi pengajaran buat semua kerana ia membabitkan individu dikenali ramai.
“Kes ini boleh dijadikan pengajaran terutamanya kepada rakyat Kelantan untuk sentiasa berjaga-jaga dan menjaga tingkah laku, terutamanya apabila kita ada nama, berikan contoh teladan yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Invest@Kelantan Forum & Expo (INFEX 2024) di sini hari ini.
Mohamed Fadzli berkata beliau telah meminta agensi penguatkuasaan untuk mempertingkatkan kawalan dan kerjasama bagi memastikan kemasukan dadah sama ada dari dalam atau luar negara dapat disekat.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan enam rakyat Malaysia ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh polis Thailand di sebuah hotel dekat pekan Sungai Golok, pada 6 pagi, Jumaat.
Tangkapan enam individu itu membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan turut menemukan kira-kira 6,000 biji pil kuda dan kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk tindakan lanjut.
Dilaporkan dua daripada suspek yang ditahan, dipercayai memasuki Thailand menggunakan pangkalan haram Gergaji dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, manakala empat lagi menggunakan laluan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial