AM > BERITA

PAC Panggil Tengku Zafrul, Guan Eng Lengkapkan Prosiding Berkaitan 1MDB

06/11/2024 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil dua bekas Menteri Kewangan dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang masing-masing berkhidmat pada 2018 hingga 2023, bagi melengkapkan prosiding berhubung komitmen pemulangan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan jaminan pembiayaan hutang 1MDB. 

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pemimpin terbabit ialah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (2021-2022) yang kini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Lim Guan Eng (2018-2020) dan Datuk Asri Hamidon yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan (2020-2023).

Turut dipanggil, firma guaman Rosli Dahalan Saravanan (RDS) Partnership untuk memberikan penjelasan berhubung usaha mendapatkan aset 1MDB semasa firma itu berada dalam Jawatankuasa Khas 1MDB.

“Prosiding dijangka diadakan pada minggu ketiga bulan ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Mas Ermieyati berkata dalam prosiding pertama selama dua jam pada 4 Nov lepas, PAC mendengar keterangan dan penjelasan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Pasukan Petugas 1MDB Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengenai usaha kerajaan mendapatkan aset 1MDB serta pembiayaan hutang 1MDB berjumlah RM9.456 bilion.

Bagi prosiding Pengurusan Akaun Belum Terima Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 5 Nov lepas, beliau berkata PAC mendengar keterangan dan penjelasan daripada Johan serta Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin dan prosiding itu juga bersambung pada minggu ketiga bulan ini.

Sementara itu, PAC juga membentangkan Laporan Tindakan Susulan Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bagi Syor-Syor Laporan PAC Parlimen Berhubung FELCRA Berhad hari ini.

“Orang ramai boleh membaca tindakan yang diambil oleh Kementerian Kewangan dan FELCRA atas syor-syor laporan PAC berhubung FELCRA yang telah dibentangkan pada 26 Jun lepas.

“Esok pula PAC akan membentangkan laporan berhubung Majlis Profesor Negara Di Bawah Jabatan Perdana Menteri setebal 278 muka surat. Prosiding ini telah diadakan pada 1 Ogos lepas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan