KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat minggu ini menyaksikan sembilan lagi kementerian selesai membuat penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa.
Persidangan minggu ini juga menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-pertayaan Menteri (MQT) bagi menjawab beberapa isu selepas beliau pulang daripada lawatan luar negara ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil selama tiga minggu bermula 9 Nov.
Perdana Menteri yang selamat tiba di tanah air pada Rabu, terus menghadiri sesi MQT semalam dengan menjawab dua soalan berkaitan beberapa isu yang dibangkitkan, berbeza daripada kelaziman untuk beliau menjawab pada setiap Selasa.
Antara isu yang dijawab Perdana Menteri ialah mengenai perkara dibangkitkan dalam sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Peru dan G20 Brazil serta keputusan sidang kemuncak Arab Islam di Riyadh, selain tahap pencapaian Kerajaan MADANI setelah mencapai usia dua tahun pemerintahan.
Sementara itu antara kementerian yang selesai membuat sesi penggulungan ialah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri
Turut selesai membuat penggulungan ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Manusia.
Sementara itu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong turut berkenan agar Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 diwartakan.
Akta ini akan menyokong inisiatif peralihan tenaga ke arah mencapai aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar menjelang tahun 2050 oleh sektor berkaitan tenaga
Sesi perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa serta jawapan daripada setiap kementerian dijadual berlangsung 13 Nov hingga 3 Dis.
Mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial