BERITA TERGEMPAR   PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | 
 AM > BERITA

Empat Projek Tambahan Bekalan Air Utama Untuk Pulau Pinang

07/11/2024 01:36 PM

GEORGE TOWN, 7 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan berkerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), bagi menjalankan empat projek bekalan air utama tambahan untuk negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Ir K.Pathmanathan berkata empat projek itu, dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Bekalan Air (BBA) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Ir Sulaiman Kamisan, di Putrajaya bulan lepas.

“Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari mengetuai delegasi kerajaan negeri serta PBAPP dalam mesyuarat itu dan empat projek tersebut ialah Projek Rumah Pam Lahar Yooi 440 Juta Liter Sehari (JLH), bagi membolehkan pengisian semula Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) yang lebih pantas.

“Seterusnya projek saluran paip Dwi Fungsi 440 JLH bagi EMD ke Terusan Sungai Dua, Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Kerian dan TAPS Sungai Muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Rumah Pam Lahar Yooi 440 JLH itu, mewakili Fasa 2C Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) dan ia akan dibina untuk mengepam tambahan 440 JLH air mentah daripada Sungai Muda, untuk mengisi semula EMD 86.4 bilion liter dengan lebih cekap semasa musim hujan.

Pathmanathan berkata Rumah Pam Lahar Yooi menyokong rancangan PBAPP untuk menukar EMD daripada rizab kemarau strategik kepada empangan harian, selepas siapnya Loji Rawatan Air (LRA) Empangan Mengkuang 114 JLH baharu pada tahun 2025.

Beliau berkata secara tidak langsung, ia juga akan memastikan pengeluaran maksimum EMD sehingga 1,040 JLH adalah mampan, ketika senario kecemasan apabila Insiden Sungai Muda mengancam perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang dan menurut BBA projek persekutuan untuk membina Rumah Pam Lahar Yooi itu, telah diluluskan serta akan dibiayai oleh baki dana daripada peruntukan MDEP RM1.2 bilion.

“Projek saluran paip Dwi Fungsi 440 JLH, kerajaan negeri dan PBAPP sedang mendapatkan bantuan kerajaan Persekutuan untuk memasang saluran paip dwifungsi 440 JLH yang baharu dari EMD ke Terusan Sungai Dua, kerana saluran paip tersebut diperlukan untuk menyokong operasi Rumah Pam Lahar Yooi yang dicadangkan,” katanya.

Pathmanathan berkata ia akan menyalurkan tambahan 440 JLH air mentah ke empangan semasa musim hujan dan akan menghantar tambahan 440 JLH air daripada EMD ke Terusan Sungai Dua, untuk digunakan di LRA Sungai Dua ketika senario kecemasan.

Beliau berkata pengeluaran maksimum EMD akan ditingkatkan daripada 600 JLH  kepada 1,040 JLH, apabila saluran paip itu dimulakan dan PBAPP boleh meminimumkan secara efektif ancaman atau impak Insiden Sungai Muda pada masa hadapan yang menjejaskan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.

Pathmanathan berkata dua lagi projek iaitu TAPS Sungai Kerian dan TAPS Sungai Muda yang pada dasarnya ialah projek mini-empangan yang dicadangkan, untuk pembangunan di atau berhampiran tebing sungai Sungai Muda di Seberang Perai Utara (SPU) dan Sungai Kerian di Seberang Perai Selatan (SPS).

Beliau berkata lebihan air mentah daripada sungai boleh disimpan dalam TAPS dan air simpanan mungkin diambil untuk menyokong perkhidmatan bekalan air selama 24 hingga 48 jam semasa kemarau, kejadian atau senario kecemasan lain.

“Selepas itu, TAPS boleh diisi semula dengan lebihan air mentah daripada sungai, ringkasnya dua projek TAPS itu boleh dianggap sebagai projek insurans tambahan, untuk menyokong bekalan air yang berterusan di SPU dan SPS. BBA telah meminta kami memohon pembiayaan persekutuan bagi projek TAPS di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030),” katanya.

Pathmanathan berkata apabila dilaksanakan, empat projek tambahan itu akan membantu memastikan bekalan air yang baik dan berterusan di Pulau Pinang.

“Empat projek itu ialah projek bekalan air tambahan yang harus dilaksanakan seiring dengan RM1.184 bilion Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) dan Projek Air Perak-Pulau Pinang bernilai RM4.5 bilion dan dalam masa sama PBAPP akan terus melaksanakan baki enam daripada lapan projek WCP 2030 seperti yang dijadualkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan