AM > BERITA

Isu Kesihatan Mental, Keselamatan Makanan Dan Farmaseutikal Antara Agenda AHMM 2026

07/11/2024 04:14 PM

BANGI, 7 Nov (Bernama) -- Isu kesihatan mental, keselamatan dan kualiti makanan, serta farmaseutikal antara agenda bakal diangkat menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) 2026 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata isu kesihatan mental yang bakal dibawa itu akan menyentuh peranan semua lapisan masyarakat, terutamanya kaunselor dan pakar perubatan keluarga dalam membantu golongan yang terjejas dengan kesihatan mental.

“Bagi farmaseutikal, kita akan tengok bagaimana boleh menggembleng keseluruhan tenaga ASEAN terutama bagi aspek harga ubat-ubatan dan perkembangan kajian klinikal.

“Konteks keselamatan dan kualiti makanan pula akan menyentuh sejauh mana kandungan nutrisi itu mempengaruhi kesihatan sebab dari masa ke semasa kita dapati ada isu keracunan makanan, bahan tambahan (yang berlebihan). Perkara sebegini memerlukan platform ASEAN (yang kukuh) untuk menangani keseriusan isu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kaunseling Serantau (RISE) 2024 yang bertemakan ‘Bridging Wellbeing and Work’ di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Tan Sri Mohd Zuki Ali.

AHMM juga akan menyentuh isu penyakit tidak berjangkit yang menjadi masalah utama kesihatan global, kata Dzulkefly.

RISE, anjuran Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama International) bermula hari ini hingga Sabtu (9 Nov) bertujuan menghimpunkan pakar dari seluruh rantau ASEAN bagi membincangkan aspek kesihatan mental dan kesejahteraan di tempat kerja.

Dzulkefly seterusnya berkata setiap organisasi tidak kira awam atau swasta perlu mewujudkan satu suasana pekerjaan yang kondusif bagi melahirkan pekerja produktif dari segi fizikal dan mental.

Beliau berkata majikan juga perlu mewujudkan ruang perbincangan terbuka bagi pekerja yang berdepan masalah atau gejala kemurungan untuk mengelakkan mereka berdepan dengan permasalahan lebih besar. 

“Organisasi mesti ada hubungan kesaling bergantungan antara majikan dan pekerja. Kalau tidak faham keperluan pekerja, maka pekerja akan kehabisan tenaga, tertekan, cemas dan kemurungan, seterusnya majikan yang tanggung rugi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan