SHAH ALAM, 8 Nov (Bernama) -- Projek pembinaan serta menaik taraf Jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang di Selangor yang diumum menerusi Belanjawan 2025 dilihat sebagai pendekatan serampang dua mata yang mampu melonjakkan produktiviti industri berasaskan kargo dalam negara.
Langkah menaik taraf infrastruktur yang menghubungkan Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, sebelum ini diiktiraf sebagai pelabuhan ke-11 tersibuk di dunia bagi tahun 2023 oleh Senarai Lloyd, adalah satu perancangan strategik untuk mengekalkan pintu masuk perkapalan utama negara itu sebagai antara aset penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi MARA Dr Rusdi Rusli berkata fungsi utama jalan raya ialah menghubungkan suatu lokasi ke lokasi lain melibatkan bukan sahaja pergerakan barangan malah sumber manusia yang menggerakkan industri.
Beliau berkata projek itu, yang melibatkan pelebaran dan penambahbaikan kepada permukaan jalan, mampu meningkatkan produktiviti industri sekali gus memberi tempias kepada prestasi pengeluaran seterusnya menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negeri serta negara.
“Isu utama yang kita boleh lihat ialah kesesakan… kita tidak mahu kesesakan ini menjadi penghalang untuk keterhubungan yang baik bagi memastikan barangan eksport atau import dapat dijalinkan dengan baik dan apabila fasiliti kita baik, ia akan menarik minat pelabur kerana jaringan logistik adalah faktor penting bagi pihak industri.
“Pelabuhan Klang antara pelabuhan paling sibuk di Malaysia, jadi dengan jaringan jalan raya yang baik ia akan meningkatkan lagi produktiviti pelabuhan tersebut sekali gus memberi sumbangan dari segi percukaian kepada negara dan pada masa sama, industri berasaskan kargo juga akan terus berkembang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pensyarah Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) Mohd Azlan Abu Bakar pula berpandangan penambahbaikan infrastruktur logistik mampu menjadikan Malaysia sebagai hab serantau yang menarik bagi syarikat multinasional terutama dalam sektor perkilangan, perdagangan serta logistik.
“Ini berpotensi menjadikan Malaysia sebagai gerbang utama perdagangan ASEAN, memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata penambahbaikan harus ditumpukan kepada beberapa aspek kritikal seperti pengurangan kesesakan, kecekapan pengurusan trafik dan penyelenggaraan jalan secara berkala bagi memastikan potensi itu dapat dicapai.
Mohd Azlan berkata dari segi sosial, penambahbaikan dan pembinaan jalan yang turut menjadi laluan harian bagi penduduk dan pekerja pastinya membantu dalam mengurangkan risiko berlaku kemalangan serta kesesakan yang sekian lama membelenggu masyarakat di kawasan itu.
“Penambahbaikan infrastruktur seperti jalan yang lebih luas tentunya mengambil kira sistem pencahayaan yang lebih baik manakala penambahan teknologi keselamatan seperti kamera pemantauan boleh meningkatkan keselamatan pengguna,” katanya sambil menambah aspek keselamatan yang lebih tinggi boleh mengurangkan kadar peratusan kemalangan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan sebanyak RM107 juta diperuntuk bagi pembinaan serta menaik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang dalam memacu sektor logistik negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial