AM > BERITA

TPM Fadillah Nasihat Masyarakat Tingkat Ilmu, Kemahiran Teknologi Elak Ditipu

09/11/2024 08:55 PM

BETONG, 9 Nov (Bernama) -- Masyarakat perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran tatkala beralih kepada penggunaan teknologi tinggi bagi setiap urusan harian mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata hal ini penting supaya mereka tidak terperangkap atau menjadi mangsa penipuan dalam talian yang dilakukan scammer, justeru Fadillah mahu institusi perbankan mendidik masyarakat melalui pemimpin pada peringkat akar umbi agar dapat mengelakkan mereka daripada mengalami kerugian besar.

“Kita kehilangan berbilion ringgit disebabkan scammer yang pendekatan mereka sudah semakin canggih untuk menipu masyarakat

“Jadi, sebab itulah saya mengharapkan terutamanya BSN (Bank Simpanan Nasional) mendidik masyarakat dengan ilmu dan kemahiran agar dapat menggunakan teknologi dengan selamat,” katanya semasa merasmikan Program Komuniti Tanpa Tunai BSN di Pusat Penjaja Kabong dekat sini hari ini.

Fadillah turut menyatakan sokongan beliau kepada mana-mana pihak yang mahu melaksanakan program seumpama itu untuk mendidik masyarakat berkaitan teknologi.

Sementara itu, inisiatif BSN melancarkan Program Komuniti Tanpa Tunai bertujuan mempromosikan penggunaan sistem pembayaran digital dalam kalangan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) sekali gus meningkatkan keterangkuman kewangan di kawasan bandar dan luar  bandar.

Program itu menawarkan kemudahan pembayaran digital seperti QR Pay dan Soundbox, direka untuk memudahkan urus niaga yang selamat, cepat, dan cekap.

Lebih 150 peniaga di pusat penjaja itu mendapat manfaat daripada teknologi pembayaran digital, seterusnya menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan hasil perniagaan.

Turut hadir Pengerusi BSN Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Eksekutif BSN Jay Khairil.

Awang Adek berkata program itu selaras dengan visi BSN untuk memperkukuh keterangkuman kewangan di Malaysia.

“Kami komited untuk memastikan PMKS mendapat manfaat sepenuhnya daripada teknologi digital ini dan menyokong pembangunan ekonomi tempatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan