KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Khatib di seluruh negeri diingatkan agar khutbah dijadikan sebagai platform untuk memupuk perpaduan dalam kalangan umat Islam bukan menimbulkan perpecahan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menegaskan bahawa peranan utama khutbah adalah untuk menyampaikan nasihat serta menggalakkan perpaduan dalam kalangan umat Islam.
"Peranan utama khutbah adalah untuk menyatu padukan umat Islam, bukan jadi pemecah belah apatah lagi menggunakan mimbar khutbah untuk memfitnah benda tidak betul," katanya kepada pemberita di sini hari ini berhubung tindakan seorang khatib sebuah masjid di Padang Serai, Kedah yang dikatakan mengupas isu pemberian kewarganegaraan kepada rakyat China ketika menyampaikan khutbah Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas Program Santuni Komuniti MADANI Peringkat Kampung Angkat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Bharu.
Mohd Na'im berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) melalui penguatkuasaan undang-undang boleh mengambil tindakan terhadap khatib berkenaan jika didapati memberikan khutbah tanpa tauliah yang sah.
"Seperti mana yang kita sedia maklum perkara ini berlaku di negeri Kedah, kuasa agama ini termasuklah dalam mendrafkan dan memberi khutbah itu terletak di bawah kuasa negeri.
“Oleh itu, tindakan terhadap khatib yang menyampaikan khutbah tanpa kelulusan (ta’wiyah) boleh diambil oleh pihak berkuasa agama negeri,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata jika siasatan mendapati khutbah berkenaan boleh mencetuskan ketegangan kaum, tindakan juga boleh diambil.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu yang dilihat sebagai penyalahgunaan pentas khutbah dan mencemarkan institusi masjid akan disiasat oleh Pasukan Khas 3R Bukit Aman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial