AM > BERITA

Pembinaan Tembok Sempadan Di Sungai Golok Masih Dalam Cadangan - Saifuddin Nasution

10/11/2024 06:58 PM

ALOR SETAR, 10 Nov (Bernama) -- Pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang Sungai Golok, Kelantan masih dalam peringkat cadangan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pagar sempadan sudah lama dipasang, justeru timbul cadangan untuk membina tembok melibatkan jarak 100 kilometer itu oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan baru-baru ini.

"Kerajaan tidak berpeluk tubuh soal isu keselamatan sempadan negara. Kementerian Dalam Negeri (KDN) misalnya sekarang di Padang Besar (Perlis) sedang melakukan bukti konsep (POC) di sepanjang 40 kilometer sempadan negara di utara, dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan dalam masa terdekat buat POC dron.

"Itulah inovasi yang kita laksanakan untuk tujuan kawalan sempadan... Pagar satu cara, penggunaan pelbagai teknologi satu cara yang perlu kita pelopori," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Baitul Mahabbah Darul Aman Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kuala Kedah dekat sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sempadan, pihaknya sering membincangkan perkara itu, namun autoriti terakhir adalah di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri menganggotai (MKN)... Jadi kita faham dari segi punca kuasa adalah MKN," katanya.

Baru-baru ini, Mohamed Fadzli memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan tembok di sepanjang Sungai Golok bagi membendung masalah penyeludupan serta aktiviti menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata kapasiti keseluruhan bagi lima Baitul Mahabbah iaitu di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah; Miri, Sarawak; Tanah Merah, Kelantan dan Kuala Kedah di sini adalah sebanyak 340 orang.

"KDN dan JIM telah berjaya menempatkan keseluruhan 415 orang kanak-kanak bersama penjaga dan berjaya menghantar pulang 128 tahanan sejak pembukaan Baitul Mahabbah yang pertama pada September 2023 dan satu lagi Baitul Mahabbah akan dibuka di Johor dalam masa terdekat," katanya. 

Baitul Mahabbah merupakan institusi yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI sebagai pusat penempatan sementara bagi menampung kanak-kanak warga asing berumur kurang 10 tahun yang ditahan bersama penjaga sehingga proses dokumentasi mereka selesai. 

Pembukaan Baitul Mahabbah juga telah meningkatkan imej negara di persada antarabangsa dalam usaha menjaga hak asasi kanak-kanak warga asing.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan