AM > BERITA

Sambutan Sedekad TMUA 2024 Perkukuh Peranan Generasi Huffaz Bina Masyarakat Berilmu, Berakhlak

10/11/2024 09:35 PM

PUTRAJAYA, 10 Nov (Bernama) -- Sambutan Sedekad Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) Kementerian Pendidikan (KPM) 2024 bukan sahaja mencerminkan kejayaan kurikulum dalam melahirkan generasi huffaz seimbang dari segi akademik dan hafazan tetapi juga sebagai langkah mengukuhkan peranan dalam membina masyarakat berilmu, berakhlak dan berwawasan.

KPM memaklumkan kejayaan TMUA sepanjang 10 tahun ini adalah hasil kerjasama erat antara kementerian, para pendidik, murid dan komuniti.

"KPM berharap kurikulum TMUA akan terus diperkasakan, melahirkan lebih ramai murid yang mampu memberikan sumbangan bermakna kepada negara, selaras aspirasi negara untuk memperkasakan pendidikan manusiawi bagi melahirkan masyarakat MADANI yang unggul dan berintegriti," menurut KPM dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut KPM, inisiatif itu diharap dapat diteruskan dan diperkasa agar legasi kecemerlangan itu terus subur demi masa depan Malaysia MADANI.

Sambutan Sedekad TMUA diadakan pada 8 dan 9 Nov lepas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya dengan tema "Memartabatkan Generasi UIlul Albab, Menginspirasi MADANI."

Sambutan ini bertujuan meraikan kejayaan pelaksanaan TMUA bermula sejak 2014 di tiga sekolah dan kini diperluas  ke 15 sekolah yang telah melahirkan generasi hafiz yang bukan sahaja cemerlang dalam hafazan al-Quran tetapi juga dalam akademik dan bidang-bidang kritikal seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Antara objektif utama sambutan itu untuk mengiktiraf usaha guru dan murid, meningkatkan penglibatan komuniti dalam pendidikan tahfiz serta mempromosi bidang berkenaan kepada masyarakat umum memberikan inspirasi kepada generasi muda agar berminat dalam bidang tahfiz dan STEM melalui pendedahan hala tuju kerjaya dan kisah kejayaan ikon TMUA.

Penganjuran itu melibatkan guru, murid dan pentadbir sekolah TMUA, bertujuan memperkukuh jaringan alumni untuk memperkasakan hala tuju pendidikan aliran tahfiz di Malaysia.

Kemuncak sambutan itu ialah majlis perasmian Sambutan Sedekad TMUA oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek semalam.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan