AM > BERITA

Sarawak Tingkatkan Perdagangan Karbon, Strategi Perubahan Iklim

12/11/2024 10:10 PM

KUCHING, 12 Nov (Bernama) -- Sarawak mengorak langkah untuk melibatkan pihak swasta dalam inisiatif perdagangan karbon dan strategi perubahan iklim, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Beliau berkata negeri itu telah membangunkan kerangka undang-undang dan kerjasama yang menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam ekonomi hijau Sarawak.

"Menerusi kerangka undang-undang dan proses yang jelas, Sarawak memberi jaminan bahawa pemaju projek karbon mempunyai hala tuju yang tersusun," katanya menjawab soalan Azizul Adenan (GPS-Tanjung Datu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Dr Hazland berkata negeri itu juga sedang mempertimbangkan penubuhan Pusat Perubahan Iklim Sarawak, sebuah kemudahan khusus untuk menyelaras dan menguruskan mitigasi perubahan iklim dan perdagangan karbon.

"Pusat ini akan menjadi pusat tumpuan untuk melibatkan sektor swasta dan menangani kepentingan, pertanyaan dan peluang berkaitan," katanya.

 

Dr Hazland berkata Sarawak akan menganjurkan Persidangan Karbon Asia sekali lagi tahun depan, platform yang bukan hanya meningkatkan kesedaran, tetapi juga menekankan komitmen strategik Sarawak dalam memajukan perdagangan karbon dan tindakan iklim.

 

Mengenai Pelan Karbon Sifar Bersih Sarawak yang sedang dibangunkan, beliau berkata ia akan mengintegrasikan perdagangan karbon ke dalam ekonomi dan matlamat alam sekitar negeri sekali gus memperkukuh peranan Sarawak dalam gerakan tindakan iklim global.

"Perdagangan karbon adalah penting untuk mempelbagaikan ekonomi Sarawak, membuka kawasan pertumbuhan baharu dan peluang dalam pelbagai sektor," katanya.

Dr Hazland berkata pemaju projek solar tempatan telah menunjukkan minat mendalam terhadap kredit karbon berasaskan alam semula jadi, menandakan peralihan daripada industri tradisional kepada model ekonomi lebih hijau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan